3 sebab utama PH perlu matikan karier politik Sanusi

- Advertisement -

PADA 17 Mei 2020 dalam peristiwa ‘Durian Luruh’ di Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru dan sejak dari hari itu Negeri Kedah menjadi antara negeri paling sibuk dalam kerja-kerja pembangunan sehingga meletakkan Kedah antara 5 negeri paling terbaik penyumbang pelaburan tertinggi kepada Malaysia. Sanusi sedar Kedah sebagai negeri kedua termiskin namun ia bukan penghalang rakyat Kedah bangkit berjuang menjadikan Kedah negeri terbaik dalam bidang ekonomi serta pelbagai bidang yang lain.

Rakyat Kedah seakan mendapat tonik luar biasa apabila terus sama-sama bekerja di bawah kepemimpinan Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor sehinggakan berjaya menarik pelbagai pelaburan dari dalam dan luar negara untuk masuk ke Kedah sehinggakan dilihat kini pelbagai pembangunan dalam Kedah dan menatijahkan rakyat dengan limpahan ekonomi setempat.

Biarpun kemajuan dan hasil kemakmuran Kedah ini menjadi nikmat kepada rakyat Kedah tetapi ia bak kudis bernanah di mata lawan politik Sanusi. Setiap  laporan dan berita kemajuan Kedah bak air sungai yang tidak pernah putus mengalir rupa-rupanya menghiris pedih jiwa lawan politik Sanusi. Oleh itu tanpa rakyat Malaysia sedar, suatu perancangan rahsia hasil gabungan lawan politik Sanusi digemblengkan untuk membunuh terus karier politik Sanusi. Sekiranya tiada tindakan atau Sanusi dibiar terus akan memberikan ancaman bak armageddon kepada lawan politik Sanusi khususnya kepada PH yang dipimpin Anwar.

- Advertisement -

1. Sanusi bawa kemajuan hebat kepada Kedah.

Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk menjadi Menteri Besar Kedah dalam PRN yang lepas dengan kemenangan yang cukup besar. Kejayaan PN di Kedah tidak memerlukan janji-janji retorik sebaliknya sajian kemajuan cemerlang tiga tahun sejak 2020 menjadi bukti untuk rakyat terus teguh percaya kepada kepemimpinan PN Kedah.

Wawasan Kedah Maju 2035 dijenamakan oleh Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor kepada The Greater Kedah bagi memudahkan rakyat memahami dan menghayati halatuju untuk bangkit bekerja bersama-sama membangunkan Kedah.

Pada suku ketiga 2023 sahaja, Kedah terus unggul sebagai negeri keempat tertinggi pelaburan sebanyak RM22.6 bilion. Walaupun pihak Kerajaan Pusat terus cuba menghalang kemodenan kepada Kedah dengan tidak meluluskan KXP namun usaha keras Sanusi bersama pasukannya terus bekerja menarik pelabur-pelabur masuk ke Kedah.

Pihak Kerajaan Pusat sedar kelulusan KXP akan bawa kemajuan yang melampau pesat kepada Kedah yang kelak akan menenggelamkan reputasi kepemimpinan PH yang sangat lemah dan gagal teruk di mata rakyat kini dalam pentadbiran Kerajaan Pusat.

Kerajaan Pusat khususnya PH melihat wawasan The Greater Kedah yang sememangnya berpotensi menjadikan Kedah negeri hebat tetapi ia juga boleh mendedahkan kepemimpinan lemah di negeri-negeri PH-BN yang menatijahkan kecenderungan sokongan rakyat beralih kepada PN.

2. Sanusi pembela agenda ABATA.

Kelantangan dan keberanian Sanusi melaungkan perjuangan demi Agama, Bangsa dan Tanah Air rupa-rupanya membawa keresahan kepada PH khususnya DAP yang mempunyai agenda jahat memporak perandakan kesatuan umat Melayu yang merupakan tunjang kepada keharmonian perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia. 

DAP tanpa segan silu mencalar hati dan jiwa pemimpin melayu dengan biadab berterus terang melaungkan bakal mengambil jawatan Perdana Menteri untuk kaum bukan Melayu. DAP juga tanpa hormat kepada Islam bak menghina cerdik pandai cendekiawan Islam tanpa segan silu menawarkan kepakaran bukan-Islam untuk turut bersama dalam jawatankuasa syariah di Malaysia. Malah lebih kurang ajar sudah berkira-kira untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan tempatan untuk diberikan kepada pihak bukan-Melayu dan mengetepikan kepemimpinan Melayu yang sedia ada.

Ketika pemimpin Melayu lain mungkin masih berhati-hati untuk mencabar tindakan jahat DAP. Sanusi tanpa gentar dan takut memberikan ingatan dan perhatian pihak DAP bahawa agenda jahat mereka menjadi perhatian utama yang kelak boleh membangkitkan semangat agama bangsa umat Melayu. Kerana itu semasa ucapan Solidariti bersama Palestin di Alor Setar, Sanusi mengingatkan pihak-pihak musuh usahlah cuba membentengkan kerja-kerja Islam di Malaysia. Malah Sanusi juga mengingatkan bangsa Melayu jangan mudah leka sehingga membiarkan pihak musuh mengambil alih tanah air Malaysia.

Karakter kuat dalam kepemimpinan Sanusi mula dilihat DAP sebagai pemimpin utama Melayu yang akan jadi penghalang kepada agenda DAP untuk menguasai negara secara perlahan-lahan. Ramai tidak sedar ungkapan berani Sanusi ‘tidak potong lan#au’ sebenarnya telah mensasar terus kepada DAP untuk mengingatkan mereka jangan sesekali cuba mencabar dan mengusik sensitiviti ABATA. Dengan ungkapan keras itu memberikan isyarat bahawa Sanusi tidak perlu hormat dan tidak langsung teragak-agak mengambil apa jua langkah menentang agenda kotor DAP. Setakat ungkapan berani itu tiadalah apa sangat berbanding pengakuan jahat DAP untuk mencampuri bidang syariah negara.

3. Pesaing nombor 1 kepada Anwar.

Sanusi semasa kempen PRU mengingatkan Anwar adalah bekas pesalah kesalahan moral yang menyebabkan Anwar tidak layak dipilih sebagai pemimpin. Sanusi satu-satunya sehingga kini adalah pemimpin paling berani dan lantang menyatakan kesalahan lampau Anwar bagi mengingatkan rakyat tidak memilih pemimpin yang rosak moral berdasarkan kepada keputusan mahkamah yang lepas.

Biarpun telah lebih setahun Anwar menjadi Perdana Menteri namun rakyat melihat tidak ada agenda-agenda reformasi kerajaan yang memberikan manfaat dan faedah kepada negara sebaliknya dasar dan halatuju wewenang Anwar lebih realistik membawa kerosakan negara. Peningkatan kos sara hidup, kenaikan harga barang, kejatuhan nilai Ringgit serta pelbagai bencana menjadikan rakyat lebih bertambah sengsara dan derita. Anwar secara jelas tidak nampak serius membawa kemajuan kepada Malaysia. Malah Tengkuk Mahkota Johor juga pernah mengakui Anwar gagal memimpin pasukannya mengemudi pentadbiran negara.

Berbeza pula dengan gaya kepemimpinan Sanusi dengan slogan ‘Kedah Tempat Orang Miskin Berteduh Tempat Orang Kaya Berbakti’ berjaya meyakinkan rakyat dengan pelbagai program dan projek yang jelas membawa kepada kemajuan Kedah.

Atas antara sebab inilah Anwar enggan meluluskan KXP yang kelak akan dipergunakan Sanusi untuk mengatasi reputasi dan populariti Anwar sebagai Perdana Menteri. Malah reputasi dan imej hebat cemerlang Sanusi juga dilihat telah mengikis imej Anwar sebagai pemimpin PH.

Pelbagai cara untuk matikan karier Sanusi

Kesimpulannya 3 faktor utama inilah maka karakter dan karier politik Sanusi wajib dimatikan dengan pelbagai apa usaha dan cara pun. Jika dengan membiarkan sosok Sanusi terus dalam arus politik negara samalah seperti membiarkan politik PH terus dilemaskan secara perlahan-lahan dan tenggelam dilupa rakyat.

Rasional inilah pelbagai bentuk serangan bermula serangan bertalu-talu dari setiap pemimpin PH seterusnya menggunakan pelbagai jentera kerajaan sehinggalah cubaan mengheret kepada mahkamah telah diperhebatkan oleh PH-BN. Sanusi juga pernah secara terbuka mendedahkan menyimpan senjata dalam kenderaan berikutan pelbagai ancaman yang beliau hadapi. Jangan terkejut jika undang-undang mahkamah digunakan kepada Sanusi maka tidak mustahil Interpol boleh juga turut diheret PH ke sini. Jika sebelum ini organisasi antarabangsa seperti NED (National Endowment Democracy), LI (Liberal International) serta agensi antarabangsa lain telah digunakan untuk membantu PH.

Rujuk https://www.ned.org/introduction-of-anwar-ibrahim/ 

https://liberal-international.org/news-articles/liberated-global-liberal-family-celebrates-release-of-anwar-ibrahim/

Justeru itu rakyat yang menyedari agenda jahat dan kotor daripada PH tidaklah terlalu terkejut dan hairan mengapa nama Sanusi kini sentiasa disebut-sebut dengan motif yang buruk tidak lain demi mematikan watak dan karier Sanusi sang Panglima Perang.

Ditulis oleh:
ABU SALAHUDDIN – HARAKAHDAILY 24/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -