
JOHOR BAHRU: PAS Johor merakamkan ucapan takziah kepada pihak keluarga Almarhumah Mila Sharmila Samsusah yang juga dikenali sebagai Bella, yang telah dibunuh kejam.
Menurut Ketua Penerangannya, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni, PAS Johor turut berharap agar pembunuhan yang berlaku itu mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Perbuatan membunuh dengan sengaja adalah suatu dosa yang sangat besar sehingga diancam dengan azab neraka yang berkekalan.
“Ini kerana akibat buruk daripada pembunuhan juga akan memberi kesan buruk kepada ahli keluarga mangsa, sahabat handai dan masyarakat setempat,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Justeru, menurut beliau, Islam memberikan ancaman dengan balasan yang amat dahsyat terhadap orang yang terlibat dengan perbuatan membunuh dengan sengaja kerana ia adalah pencabulan terhadap hak Allah SWT.
Bella yang dilaporkan hilang pertengahan Disember lepas disahkan telah meninggal dunia hasil penemuan rangka mangsa di sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, Batu Pahat beberapa hari lepas.
Tambah Abu Irfan, kekerapan laporan kes orang hilang dan penemuan mayat atau rangka, menuntut seluruh anggota masyarakat sentiasa prihatin dan mengambil berat tentang isu keselamatan diri dan keluarga.
Beliau turut menggesa agar semua pihak dapat memberikan keutamaan terhadap keselamatan diri dan keluarga dengan mengambil langkah-langkah perlu dengan sentiasa berwaspada di mana jua berada dan dengan siapa kita berada.
“Keselamatan diri dan keluarga adalah keutamaan. Sentiasa berwaspada di mana jua kita berada. Semoga di dalam pemeliharaan Allah SWT sentiasa,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 24/1/2024











