Serangan terhadap masjid di Palestin sepanjang 2023

- Advertisement -

SEPANJANG tahun lalu, rejim Zionis Israel telah melakukan pelbagai tindakan berbentuk serangan, pencerobohan dan vandalisme terhadap masjid-masjid di seluruh Palestin terutamanya Masjidil Aqsa, Masjid Ibrahim dan masjid-masjid di Gaza.

Demikian didedahkan Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Palestin dalam satu kenyataan Ahad lalu. 

Kenyataan berkenaan menyenaraikan bentuk-bentuk tindakan tidak bertamadun Israel terhadap rumah Allah seperti pengeboman dan perobohan, merosakkan fizikal masjid, menghalang umat Islam masuk ke dalam masjid, memukul dan menghalau keluar mereka yang sedang solat, menangkap jemaah masjid tanpa sebarang alasan dan sebagainya. 

- Advertisement -

Masjidil Aqsa

Sepanjang tahun 2023, Israel telah memberi 250 kebenaran untuk pendatang Yahudi menceroboh Masjidil Aqsa dan melakukan ritual agama mereka di dalam kawasan Masjidil Aqsa. Penceroboh bukan sekadar diberi kebenaran, bahkan dikawal ketat oleh polis Israel sepanjang berada dalam kawasan masjid berkenaan. 

Pihak tentera pula membina pos-pos kawalan mereka di sekeliling tembok Masjidil Aqsa untuk menakut-nakutkan umat Islam menghadiri masjid.  

Sejak Oktober 2023 lalu, mereka melakukan pelbagai halangan, menyusahkan dan melarang umat Islam daripada menghadiri solat Jumaat. Sebahagian besar umat Islam terpaksa mengerjakan solat Jumaat di tepi-tepi jalan raya sekitar Al-Aqsa termasuk di kawasan kubur berhampiran. 

Lebih dari itu, berlaku serangan hingga ke dalam masjid. Tentera Israel masuk ke dalam Masjidil Aqsa dengan berkasut untuk memukul mereka yang sedang mendirikan solat serta menangkap sebahagian daripada mereka. 

Masjid Ibrahim, Al-Khalil

Di Bandar Al Khalil (Hebron) Masjid Nabi Ibrahim turut tidak terlepas dari kejahatan kaum Bani Israil ini. Sepanjang tahun lalu, masjid ini terpaksa ditutup selama 10 hari dan tidak dibenarkan beroperasi. 

Penutupan ini biasanya diarahkan untuk memberi laluan kepada upacara keagamaan Yahudi dan upacara-upacara yang tidak ada sebarang kepentingan. Antaranya majlis perayaan yang diadakan sempena siapnya mereka memasang tangga elektrik (eskalator) dan pembinaan laluan pelancong.

Laungan azan di masjid ini juga tidak dibenarkan dilaungkan sebanyak 704 kali sepanjang 2023. Dalam masa yang sama pihak berkuasa Israel beberapa kali melakukan penggalian tanah di halaman Masjid Ibrahim ini.

Pada 2023 juga, seramai 415 orang tentera menceroboh ke dalam dewan solat. Apabila ada sambutan perayaan agama Yahudi,  mereka memasang lilin keagamaan di atas sepanjang tembok masjid di samping memasang bendera Israel. 

Seperti Masjidil Aqsa, Masjid Ibrahim turut berhadapan dengan tindakan ganas tentera Yahudi menghalang umat Islam masuk ke dalam masjid, menceroboh dewan solat, memukul, menghalau dan menangkap mereka yang sedang solat, menghalang kerja-kerja pembaikan masjid dan sebagainya. 

Masjid lain di Tebing Barat

Selain dua masjid utama ini, terdapat 388 buah masjid yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai tindakan kejam rejim Zionis. Kawasan yang paling sering diceroboh ialah Tulkaram dan Jenin.

Serbuan dan pencerobohan di kawasan ini sering kali membabitkan kematian dan penangkapan.

Masjid di Gaza

Sehingga hari ini, sebanyak 145 buah masjid telah musnah sama sekali dalam pengeboman pesawat Israel di Gaza. 243 lagi rosak teruk dan masih boleh digunakan dalam keadaan yang sangat tidak selesa.

Semalam Kementerian Kesihatan mengumumkan serangan Israel terhadap Gaza telah menyebabkan kematian 25,105 rakyat Gaza dan mencederakan 62,681 yang lain. Angka ini tidak termasuk mereka yang tertimbus di bawah runtuhan dan masih belum berjaya dikeluarkan.

ARIS HAZLAN ISMAIL – HARAKAHDAILY 23/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -