
KOTA BHARU: Kerajaan Pusat memberi jaminan projek pembinaan tiga alur limpah (spillway) di Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok akan dilaksanakan sebelum musim tengkujuh.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, projek berkenaan kini berada pada tahap sedang dinilai secara dalaman.
Katanya setakat ini kaedah pelaksanaan projek tersebut sedang diteliti selain beberapa aspek yang perlu diberi perhatian secara menyeluruh.
“Justeru, saya berpandangan pembinaan alur limpah itu perlu dilaksana tahun ini atau sebelum tibanya musim tengkujuh akhir tahun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita selepas melawat Loji Rawatan Air Kampung Telok, Panji di sini petang semalam. (Foto bawah)

Beliau turut memaklumkan pelantikan kontraktor secara terus atau sebaliknya belum lagi diputuskan.
“Belum tiba masa untuk melantik kontraktor dan kemungkinan akan melibatkan pelantikan secara terus,” katanya.
Pada akhir tahun lepas Perdana Menteri, Datk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat Kelantan meluluskan peruntukan berjumlah RM6 juta bagi membina tiga alur limpah di sepanjang benteng PLSB Sungai Golok bagi mengurangkan kesan banjir di Rantau Panjang. – HARAKAHDAILY 23/1/2024











