Halaqah Ilmiah agenda mendidik rakyat

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan negeri Perlis menganjurkan Halaqah Ilmiah bagi mendidik rakyat menambah ilmu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, program tersebut telah memasuki siri kedua yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

“Alhamdulillah selesai Program Halaqah Ilmiah Siri kedua pada hari ini, ia terbuka untuk seluruh rakyat Negeri Perlis.

“Al-Fadhil Ustaz Ahmad Adnan Fadzil memimpin kuliah dengan pengajian kitab 25 Hadis Kesempurnaan Iman, dari Sahih al-Bukhari,” katanya.

Program tersebut semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat apabila sekitar 100 orang menghadiri pengajian itu yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar.

“Program ini akan diteruskan pada hari Sabtu minggu kedua setiap bulan dan kita jemput orang untuk hadir lagi nanti,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, siri pertama diadakan pada 9 Disember lepas di tempat dan penyampai yang sama.

Ustaz Ahmad Adnan merangkap Ahli Panel Syariah Jabatan Mufti Kerajaan negeri berkata, umat Islam perlu bersatu bagi menghadapi musuh.

“Dalam dunia hari ini kita melihat berlakunya perpecahan yang sangat hebat menyebabkan kita tidak mampu untuk berdepan dengan kuasa besar dunia.

“Jadi salah satu keutamaan sekarang ialah bagaimana untuk menghimpunkan kembali kekuatan umat Islamdan salah satu rahsianya ialah mudahkan jangan payahkan dan jangan kamu menjadikan orang lari dari kamu,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2024

- Advertisement -