
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengetuai delegasi pelaburan Kerajaan Negeri Kedah ke Greennovo Enviromental Technology Co Ltd di Bandar Gejiu, China, semalam.
Firma pengeluar produk berasaskan keluli daripada jenis zink itu mempunyai lebih 20 kilang di serata dunia, di mana di Malaysia, Greennovo melalui syarikat kerjasamanya Xin Sheng Environmental (M) Sdn Bhd menjalankan aktiviti pengeluaran di Padang Meha, Kulim.
Pengerusi Greennovo, Leon Ma berkata, sebagai prospek masa hadapan, syarikat itu melalui Xin Sheng bercadang untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkonsepkan hijau dan Malaysia antara yang dipertimbangkan sebagai tapak untuk pusat itu.
Greennovo juga beritahu beliau dalam ucapan mengalukan delegasi itu menyatakan berhasrat untuk mengembangkan lagi operasinya dengan membuka kilang proses menukarkan serbuk zinc oxide menjadi zinc ingot.
Dato’ Seri Muhammad Sanusi pula dalam ucapannya menyatakan komitmen Kerajaan Negeri Kedah untuk memudahcara sebarang urusan di bawah kuasanya bagi setiap proses yang perlu dijalani oleh pelabur termasuk Greennovo dan Xin Sheng.
“Meskipun tertakluk kepada prosedur dan peraturan sedia ada, Kerajaan Negeri menerusi agensi-agensinya seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengamalkan konsep Mesra Pelabur untuk mempermudahkan urusan sekali gus menjimatkan masa dan kos pelabur, asalkan semua peraturan dipatuhi,” ujarnya.
Konsep Mesra Pelabur yang diamalkan Kerajaan Negeri telah memberi impak cukup besar dalam menarik pelaburan begitu tinggi masuk ke Kedah sejak tiga tahun kebelakangan, membolehkan negeri ini jauh melepasi sasaran pelaburan tahunan RM10 bilion tiga tahun berturut-turut sejak 2021.
Turut serta adalah anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah dan Wong Chia Zen, serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Dato’ Elmi Yusoff.
Juga bersama adalah Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah, Sharifah Zakiah Syed Shahab serta wakil-wakil daripada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan agensi-agensi bawah Kerajaan Negeri. – HARAKAHDAILY 19/1/2024












