
SEKULAR adalah dasar dan prinsip DAP
DAP merupakan sebuah parti yang memperjuangkan negara sekular. Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaannya (Fasal II);
Mengesahkan lagi dan ‘memulihkan’ Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia.
Sekular dinyatakan secara jelas oleh Lim Kit Siang dalam satu kenyataan pada 2012 [1]. Begitu juga kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sebagai satu prinsip dalam Perlembagaan mereka, dan ia perlu dikekalkan. [2]
Dakwaan mengekalkan Islam agama Persekutuan
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyatakan;
“DAP mendukung prinsip terbabit termasuk kedudukan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” [2]
Bahkan, beberapa pimpinan parti ini menyatakan seolah-olah apa yang diperjuangkan oleh mereka tidak bertembung dengan Islam. Antaranya yang dinyatakan oleh kenyataan Syeikh Omar, ADUN Paloh yang menyertai DAP sejak 2015 bahawa pegangan agamanya tidak luntur meskipun sudah bersama DAP lebih 3 tahun. [3]
Bukan sekadar itu, DAP kononnya menempelak sikap sesetengah pihak yang masih menganggap parti itu masih mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini. [4]
Bahkan, mereka kononnya menafikan mahu masuk campur urusan agama Islam, sekalipun Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham pernah mencadangkan pelantikan pakar perundangan bukan-Islam untuk menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah. [5]
Maksud sekular dan negara sekular menurut DAP
Syahredzan Johan, ketika bertugas sebagai Setiausaha Politik Lim Kit Siang, menyatakan bahawa sekularisme yang mereka perjuangkan bukanlah bermaksud menolak agama. Akan tetapi, mana-mana perundangan, perlu diabsahkan melalui proses sekular, iaitu dibahaskan oleh semua wakil rakyat. [6]
Beliau turut menyatakan;
Orang salah faham mengenai sekularisme mengatakan bahawa ia tak ada agama walhal sekular itu bermakna pemisahan agama dan pentadbiran.
Takrifan ini turut dinyatakan oleh YB Hannah Yeoh yang merupakan pimpinan DAP [7].
Edry Faizal yang merupakan pimpinan DAP Selangor mengakui dirinya sangat ‘pro negara sekular’ dan beliau marah apabila dikatakan ‘menolak agama’. Sebaliknya beliau mahukan agama itu bersifat inklusif, kerana kerajaan dengan bebas ‘menggunakan instrumen-instrumen state’ bagi tujuan agama tertentu. [8]
Beliau berkata;
Masalah agama meruncing kat Malaysia. Campur tangan kerajaan kuat, sehingga aku dah rasa faham [sangat] terhadap agama. Contohnya Islam, [ia] bukan lagi [semata-mata] agama, [tapi turut merupakan] mekanisme state itu sendiri … dengan pelbagai undang-undang [dan] diperhatikan oleh aparat aparat negara. [8]
Gambaran belum jelas
Melalui ucapan-ucapan pimpinan DAP yang telah saya nyatakan tadi, tidak dapat memberi gambaran yang jelas dasar-dasar sekular yang diperjuangkan oleh mereka.
Cuma, apa yang dapat diteliti secara jelas ialah sekular dalam bentuk pemisahan agama daripada pentadbiran.
YB Hannah Yeoh, yang merupakan pimpinan DAP menyatakan;
Sekularisme ialah satu konsep yang memisahkan kuasa dan pentadbiran daripada institusi agama dan bukannya menolak agama. Negara sekular ialah sebuah negara yang mempunyai pemerintah yang mengiktiraf dan menghormati hak rakyat untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan daripada mana-mana pihak berkuasa. [9]
Mereka memperjuangkan sekular (pemisahan agama daripada pentadbiran) dalam kerangka masih memberi kebebasan beragama. Perkara ini disebut oleh sebahagian pengkaji sebagai sekularisme moderate yang akan dihuraikan selepas ini, insya-Allah.
DAP menolak Islam sebagai sistem dan perundangan
Berdasarkan ucapan-ucapan pimpinan DAP, saya melihat bahawa mereka menolak penafsiran Islam sebagai satu bentuk perundangan, atau sistem. Antara yang dapat kita lihat, apabila DAP membuat pusingan U, membantah RUU355. [12] Masing-masing sedar bahawa RUU355 hanya membabitkan orang Islam sahaja, sekalipun telah ditegaskan oleh Presiden PAS bahawa ia bukanlah hudud.
Bahkan, apabila kita mengimbau sejarah terpecahnya Barisan Alternatif pada PRU1999, DAP telah mengambil langkah meninggalkan kerjasama tersebut pada 2001, kerana membantah pelancaran Dokumen Negara Islam yang diterbitkan PAS [8].
Antara yang disebutkan oleh Wan Hamidi yang merupakan perintis kepada sekolah demokrasi (SekDem) di bawah DAP, bahawa DAP menolak hudud atas alasan ia tidak termaktub di dalam Rukun Islam dan Rukun Iman [8].
Justeru, tindakan-tindakan seperti ini, menjadi hujah bahawa DAP tidak mahu Islam itu ditegakkan sebagai sistem, atau bentuk perundangan. Jelas sepertimana yang diutarakan oleh Edry Faizal yang saya nukilkan tadi:
“Contohnya Islam, [ia] bukan lagi [semata-mata] agama, [tapi turut merupakan] mekanisme state itu sendiri …”
al Qaradawi menolak sekular moderate
Syeikh Yusuf al Qaradawi di dalam التطرف العلماني في مواجهة الإسلام [10] menyatakan bahawa ada pengkaji yang membahagikan sekular itu kepada dua, iaitu sekular neutral atau moderate dan sekular yang agresif menentang Islam (radikal).
Para pengkaji tersebut meletakkan bahawa sekular neutral (moderate) adalah sekular yang berfahaman liberalisme yang kononnya melaungkan kebebasan manusia, termasuklah memberi kebebasan kepada seseorang untuk berpegang dengan agamanya.
Namun, beliau menegaskan bahawa hakikatnya, tidak ada sekular yang bersifat moderate atau neutral terhadap Islam (agama). Ini kerana, memisahkan kehidupan manusia daripada Islam bukanlah satu pendekatan neutral. Bahkan itu adalah sikap ekstrem terhadap Islam.
Katanya lagi, pendirian ini terbina daripada asas tohmahan bahawa Islam itu memudaratkan dan membahayakan kehidupan manusia. Maka, para sekularis akan menjauhkan masyarakat daripada Islam, dan menyeru supaya membina negara, undang-undang, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya, bukan atas dasar agama.
Penegasan al Attas terhadap sekularisasi
Pandangan Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al Attas terhadap sekular agak selari dengan apa yang dilontarkan oleh al Qaradawi. Walaupun ada sedikit perbezaan, namun, kedua-duanya selari dalam menyatakan bahawa sekularisasi itu bersifat menyeluruh (as a whole).
Dr Ugi Suharto ketika membentangkan pemikiran al Qaradawi dan al Attas mengenai Sekularisasi beliau menyatakan
“Memang tidak syak lagi sekularisasi merupakan suatu program yang ekstrem dan melampau. Dengan perkataan lain, sekularisme itu memang tidak bersifat neutral ataupun tawar kepada Islam.” [11]
Al Attas meletakkan proses sekularisasi yang berlaku dalam alam fikiran seseorang dan kesannya terhadap masyarakat, berjalan menerusi tiga komponen terpadu, iaitu:
(1) Disenchantment of nature (pengosongan alam tabii dari semua makna rohani);
(2) Desacralization of politics (penafian semua kekudusan politik dan kepimpinan);
(3) Deconsecration of values (penafian kesucian serta kekekalan semua nilai-nilai hidup).
Beliau menegaskan; “Sekularisasi secara menyeluruh (as a whole) bukan sahaja satu ungkapan yang jelas-jelas tidak mensifatkan pandangan hidup Islam, tetapi juga telah dirancang untuk menentang Islam. Oleh itu Islam menolak secara total manifestasi yang jelas dan juga yang samar serta matlamat akhir proses sekularisasi itu. Kerana itu orang-orang Islam mestilah menolaknya dengan sekuat tenaga di mana sahaja mereka menemuinya sama ada di kalangan mereka sendiri ataupun di dalam minda mereka, kerana hal itu laksana racun yang mematikan iman.” [11]
Tidak memahami Islam secara sebenar
Salah faham terhadap Islam boleh dikatakan menjadi punca kepada suburnya sekular, dan akhirnya merebak menjadi sekularisme. Khususnya apabila masing-masing tidak nampak di manakah pertembungan antara Islam dan fahaman tersebut. Ini kerana, mereka gagal memahami maksud Islam yang sebenar.
Syeikh Yusuf al Qaradawi menyatakan di dalam kitabnya, الإسلام والعلمانية وجها لوجه [13] bahawa para penganut sekular sepatutnya merujuk kepada rujukan yang tepat untuk memahami maksud Islam yang sebenar. Iaitu merujuk golongan yang pakar (para ulama’) mengenai Islam. Bukanlah mengandaikan maksud Islam, melalui takrifan orang-orang Barat.
Justeru, al Qaradawi meletakkan di bahagian awal kitabnya tajuk yang memperincikan istilah Islam dan sekular. Apakah Islam yang sebenar, dan apa pula maksud sekular secara hakikatnya?
Apabila kita meneliti persoalan ini, barulah kita dapat memahami apakah benar dakwaan pimpinan DAP bahawa sekular itu tidak menjejaskan pegangan agama? Atau mendakwa tiada pertembungan antara sekular dan Islam?
Kewajipan memerintah dengan acuan Islam
Al-Quran telah menerangkan mengenai kewajipan memerintah mengikut acuan Islam, bukan dengan andaian atau teori-teori Barat.
Allah S.W.T berfirman;
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’”
(al-Baqarah: 30)
Perkataan khalifah atau khilafah ialah mentadbir urusan dunia dengan agama Allah, iaitu Islam.
FirmanNya lagi;
إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ
“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya);”
(an-Nisa: 105)
FirmanNya lagi;
وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah ….”
(al-Maidah: 49)
FirmanNya lagi;
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.”
(an-Nisa: 58)
Memahami Islam sebagai sebuah sistem dan pemerintahan
Islam adalah agama yang lengkap. Ia tidak boleh dilihat secara terpecah-pecah (fragmental piece). Ia bukan sekadar kerohanian, atau amalan peribadi semata-mata. Bahkan, ia adalah sebuah sistem yang mengatur hidup manusia.
Contohnya, di dalam pengajian Islam, kita pelajari tentang Undang-undang Islam, yang meliputi 4 konteks;
Konteks peribadi, seperti solat, puasa, berakhlak mulia, tidak menipu dan sebagainya.
Konteks keluarga, seperti nikah kahwin, mahram, pusaka, nafkah, tanggungjawab ibu bapa dan sebagainya.
Konteks masyarakat (komuniti Islam), seperti hak jiran, menyuruh kemakrufan, mencegah kemungkaran, solat jemaah, sedekah dan sebagainya.
Konteks negara, seperti pelantikan ketua negara, pelaksanaan zakat, undang-undang mencegah kemungkaran, kehakiman, ekonomi Islam, pengurusan tanah, pelaksanaan hukum jinayat dan sebagainya.
Imam Hassan al Banna menghuraikan maksud Islam;
الإسلام نظام شامل يتناول مظاهر الحياة جميعا فهو دولة ووطن أو حكومة وأمة، وهو خلق وقوة أو رحمة وعدالة، وهو ثقافة وقانون أو علم وقضاء، وهو مادة وثروة أو كسب وغنى، وهو جهاد ودعوة أو جيش وفكرة، كما هو عقيدة صادقة وعبادة صحيحة سواء بسواء
Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Islam adalah daulah dan tanah air atau kerajaan dan ummah. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sebagaimana Islam itu adalah aqidah yang benar dan ibadah yang sahih.
Kesimpulan
Saya melihat, para pendukung sekular (sebahagian pengkaji mengkhususkan terma Sekular Moderate) mendakwa bahawa mereka memberi kebebasan beragama. Bahkan, mereka menafikan menolak agama. Cuma, yang mereka tolak ialah apabila Islam itu diangkat sebagai sebuah sistem negara dan pentadbiran.
Justeru, di sini saya boleh simpulkan bahawa ideologi DAP mungkin tidak jelas pertembungannya di Malaysia jika Islam itu ditakrifkan hanya sekadar nama, ritual dan amalan peribadi. Namun, ideologi perjuangan DAP itu dilihat bertembung apabila Islam itu ditakrifkan dengan maksud yang menyeluruh dan lengkap.
MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 19/1/2024
Rujukan:
[1] https://dapmalaysia.org/english/2012/aug12/lks/lks6304.htm
[2] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1147629/tak-perlu-gugur-agenda-negara-sekular-malaysian-malaysia-dap
[3] https://m.malaysiakini.com/news/446497
[4] https://www.utusan.com.my/nasional/2023/11/dap-tidak-persoal-kedudukan-islam-agama-persekutuan/
[5] https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/12/1045289/dap-nafi-mahu-masuk-campur-urusan-agama-islam
[6] https://dapmalaysia.org/syahredzan-johan-dap-islam-sekularisme/?fbclid=IwAR1WAayLJcOeXJZbXmZihdtOr64aNzRduqIzY1s4hW4x5uhlEDgDLorl9pE
[7] https://www.roketkini.com/2017/05/16/prinsip-sekular-dalam-perlembagaan-persekutuan-jadi-pegangan-dap/?fbclid=IwAR2A2qVJUE5iwvY1s9r4i1tbrrQSaL16ObO9M7Tsc334JlfQja07elJDawk
[8] Muhd Irham Abdul Aziz, Muhamad Takiyuddin Ismail dan Aizul Fahmi Abdullah, Projek Pascaetnik Melayu Dalam DAP, UKM Press, 2018
[9] https://www.roketkini.com/2017/05/16/prinsip-sekular-dalam-perlembagaan-persekutuan-jadi-pegangan-dap/?fbclid=IwAR2A2qVJUE5iwvY1s9r4i1tbrrQSaL16ObO9M7Tsc334JlfQja07elJDawk
[10] al Qaradawi, التطرف العلماني في مواجهة الإسلام, cetakan Dar al Syuruq, 2001.
[11] Dr Ugi Suharto, al Attas dan al Qaradawi Mengenai Islam dan Sekularisme, Seminar Pemikiran al Qaradawi anjuran Kolej Kediaman Kedua dengan kerjasama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya 2002
[12] https://www.bharian.com.my/berita/politik/2017/03/261187/ruu-355-dap-buat-pusingan-u
[13] al Qaradawi, الإسلام والعلمانية وجها لوجه, Maktabah Wahbah cet 3, 2011
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











