
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim menyeru masyarakat sama-sama membantu memberi peluang kedua kepada penghuni penjara.
“Sama-sama membantu memberi peluang kedua buat penghuni penjara kembali ke pangkuan masyarakat,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosial beliau susulan kunjungan Jabatan Penjara Malaysia ke pejabatnya di Wisma Darul Iman, semalam.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih atas kunjungan dan perbincangan yang sangat baik bersama delegasi Jabatan Penjara Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Dato’ Ibrisam Abdul Rahman.
Katanya, Terengganu membuka ruang kerjasama seluas-luasnya untuk bekerjasama dengan pihak Jabatan Penjara Malaysia bagi menerima tenaga kerja dari penghuni penjara yang sedang menjalani proses parol khususnya dalam sektor pertanian.
Menurutnya, sebelum ini Pertanian Terengganu telah menjalinkan kerjasama dengan Penjara Marang mengusahakan tanaman mempelam Harum Manis di dalam kawasan penjara yang mula membuahkan hasil.
Sempena kunjungan itu, pihak Jabatan Penjara Malaysia menyampaikan cenderahati kepada Dr Azman berupa frame tulisan khat hasil kerja penghuni penjara yang sedang menjalani hukuman di sebalik tembok penjara. – HARAKAHDAILY 18/1/2024












