PASRelief hasrat bina kerjasama dengan universiti a’bangsa

- Advertisement -

YALA, Thailand: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) berhasrat meluaskan lagi peranannya di arena antarabangsa menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi.

Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah yang juga ADUN Penaga berkata, secara khusus dalam gerak kerja kemanusiaan dan membina hubungan bagi menyantuni golongan memerlukan.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian selepas majlis ringkas serahan sumbangan kepada mahasiswa sempena Misi Bantuan Banjir Ke Selatan Thailand di Universiti Rajabath Yala (YRU), di sini sebentar tadi.

Turut bersama dalam majlis ini ialah Naib Rektor YRU, Prof Madya Dr Bunsik Chai Canak dan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena serta Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Juga Ahli Jawatankuasa PASRelief, Senator Ustaz Musoddak Ahmad dan Dr Rosni Adam serta Kordinator PASRelief Negeri, Ustaz Mohd Rosli Azmi (Kedah), Ustaz Roslan Md Esa (Pahang) dan Ustaz Mohd Tarmizi Mohd Yahaya (Sabah).

Dekan Fakulti Pendidikan YRU, Prof Madya Dr Muhammad Tolal yang meraikan kehadiran delegasi menyifatkan perhatian PASRelief itu berlaku atas dasar hubungan ukhuwah Islamiyah. 

Hakikatnya ujar beliau yang baharu seminggu dilantik ke jawatan tersebut, orang Muslim walaupun berbeza negara tetapi hakikatnya adalah satu di mana hanya terpisah oleh sempadan geografi. 

Beliau turut memaklumkan bahawa banjir yang berlaku di Wilayah ini termasuk di empat wilayah lain Selatan negara ini disifatkan oleh ramai pihak sebagai antara terbesar dalam sejarah dan menjejaskan penduduk.

Dr Muhammad turut memaklumkan bahawa universiti ini bakal menyambut ulang tahun ke-90 pada Jun hadapan di mana ia mempunyai seramai 95 peratus mahasiswa Muslim. – HARAKAHDAILY 17/1/2024

- Advertisement -