
KANGAR: Tiga pensyarah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menang pingat emas sempena Ulul Albab Innovation Competition and Exhibition (UAICE) 2024 yang berlangsung pada 13 Januari lalu.
Siti Fadhilah Ghazali, Naimah Abu Kasim dan Suharne Ismail memenangi pingat tersebut dalam kategori C iaitu sebagai ahli akademik dan penyelidik pada pertandingan yang dianjurkan oleh Pusat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Tajuk yang diketengahkan oleh penganjur iaitu ‘Zakat on Inheritance: A Proposed of Implementation Zakat Guidelines Standard’ bermatlamat memberi kesedaran dan bantuan kepada semua pihak sama ada institusi zakat negeri, majlis agama Islam negeri, institusi pentadbiran harta pusaka termasuk pengamal undang-undang.
Ia juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Islam mengenai kewajipan terhadap ahli waris dalam menunaikan zakat dari harta pusaka.
Penyertaan tiga pemenang itu juga adalah kesinambungan daripada pertandingan inovasi di peringkat KUIPs iaitu Innovation, Invention & Design (KIID 2023) yang diadakan pada 15 November 2023 lepas.
Pertandingan inovasi itu melibatkan 30 kumpulan terdiri daripada ahli akademik/penyelidik, guru-guru sekolah, pelajar-pelajar institut pengajian tinggi (IPT) serta para pelajar sekolah.
Antara IPT yang mengambil bahagian ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sains Malaysia (USM), Politeknik Ungku Omar, institusi-institusi di bawah Majlis Amah Rakyat (MARA) dan peringkat sekolah. – HARAKAHDAILY 16/1/2024











