
HULU TERENGGANU: Seramai tujuh keluarga menerima rumah bantuan kerajaan negeri di bawah Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) di Kampung Tok Randok, Ajil, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pembinaan rumah di bawah projek tersebut melibatkan kos RM70,000 seunit.
“Alhamdulillah tahun lepas kita berjaya membina tujuh rumah termasuk sebuah di bawah kendalian pejabat agensi dan enam lagi program PPTS.
“Disebabkan halangan banjir kita tidak dapat anjur majlis penyerahan pada Disember lepas,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci PPTS, di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta setiap Dun bagi membina enam rumah dan 39 lagi terlibat dengan program baikpulih.
“Sejak kita memerintah daripada 2018 sehingga sekarang lebih kurang RM5 juta diperuntuk bagi melaksanakan program berkenaan.
“Purata setiap tahun dalam enam rumah dibina. Dan sejak 2018 sebanyak 30 rumah siap dibina,” katanya.
Menurutnya juga beberapa agensi kerajaan dan NGO turut menyumbang peruntukan bagi membina rumah untuk rakyat miskin.
Kata beliau ada rumah dibina Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan beberapa agensi termasuk luar Terengganu. – HARAKAHDAILY 16/1/2024











