
PADANG BESAR: Menjaga kebersihan khususnya di tempat awam bukan sahaja tanggungjawab bersama malah mencerminkan keindahan dan ketenangan.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan, Muhammad Azmir Azizan berkata, tindakan seumpama itu sangat penting, apatah lagi sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
“Tahun ini bermula Tahun Melawat Perlis jadi setiap kita perlu meraikan kedatangan pelancong, justeru semangat untuk mempromosikan keunikan dan daya tarikan Perlis kepada pelancong perlu ditingkatkan,” kata beliau.
Azmir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan, bersama turun ke lapangan membersihkan beberapa lokasi di sekitar Kampung Padang Pauh pada program gotong royong, hari ini.
Antara lokasi pembersihan termasuklah pondok menunggu bas yang sudah lama terbiar. (Foto atas)
“Pondok bas di Kampung Padang Pauh dah lama tidak diselenggara dengan baik dan dibersihkan.
“Kebersihannya tempat awam ni adalah bertanggungjawab bersama supaya dapat digunakan oleh orang ramai,”katanya lagi.
Ujarnya lagi, setiap orang perlu mempunyai semangat yang tinggi untuk mempromosikan keunikan dan daya tarikan pelancong ke Perlis.
Program gotong royong yang diadakan dengan kerjasama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Pauh, Cik Mazlan Othman dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Santan. – HARAKAHDAILY 15/1/2024











