
KUALA TERENGGANU: PAS Pahang menyambut baik keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada pembangunan negeri dan negeri itu.
Ketua Penerangan PAS negeri, Aireroshairi Roslan berkata, nasihat Agong tentang perlunya kerajaan mendahulukan urusan pemerintahan berbanding sibuk dengan politik kepartian perlu dilihat sebagai perkara penting.
“Ini kerana, politik kepartian inilah yang telah membantutkan perkembangan negara sejak sekian lama.
“Dari zaman Umno sebagai ketua Kerajaan Pusat yang sentiasa menganaktirikan kerajaan negeri di bawah PAS, sehinggalah bertukarnya kerajaan kepada PH-BN yang mengamalkan sikap yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengikut maklumat, kata Aireroshairi, pada bulan Disember yang lalu, 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi akan mula dilaksana dengan kos RM11.8 bilion di seluruh negara.
Jumlah ini, katanya, merangkumi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Lembangan Sungai Pahang, Pahang; Sungai Langat Fasa 2, Selangor; Sungai Jelai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Tambahnya, turut disenaraikan adalah RTB Kuching Fasa 2, Sarawak; Baling Fasa 2, Kedah dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kelantan Fasa 2, Kelantan.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 11 Januari lalu bertitah supaya kerajaan menyegerakan projek tebatan banjir yang telah dirancang di Pahang dan jangan mempolitikkan usaha itu.
“Saya harap jangka panjang kerajaan harus percepatkan projek-projek tebatan banjir, yang telah dirangka oleh pihak berwajib di seluruh Pahang, dan saya harap janganlah berpolitik dalam hal ini, seelok-eloknya ambil secara serius dan urgent untuk bina tebatan banjir di seluruh Pahang,” titah baginda ketika berangkat melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Felda Chini 1, Pekan. Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berangkat.
Media melaporkan, dalam titah baginda ketika menyantuni mangsa banjir di PPS berkenaan, Seri Paduka mengingatkan pelaksanaan projek-projek berkenaan perlu diambil serius oleh pihak bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
“Semoga nasihat Agong diambil berat oleh kerajaan pusat. Amalan janji-janji mulut tanpa pelaksanaan sepatutnya dihentikan oleh kerajaan pusat,” kata Aireroshairi.
Tambahnya, negara memerlukan kerajaan yang bertanggungjawab membina negara, bukan hanya beretorik semata-mata. – HARAKAHDAILY 14/1/2024











