
KANGAR: Dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing, tiada wakil Kerajaan Negeri Perlis pada mesyuarat bersama kementerian itu 14 November lalu, adalah tidak benar.
Sebaliknya tegas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, mesyuarat itu dihadiri Pengerusi Pelancongan, Wan Badariah Wan Saad bersama seorang pegawai lain mewakili MOTAC.
“Dakwaan tanpa menyemak fakta bukan sahaja tidak benar malah boleh mencalarkan imej dan kredibiliti kerajaan negeri Perlis,” ujar beliau dalam kenyataan media hari ini.
Semalam, Datuk Seri Tiong mengeluarkan kenyataan, Perlis hanya menghantar pegawai MOTAC sebagai wakil, sedangkan negeri-negeri lain diwakili Exco Pembangunan Pelancongan masing-masing.
Beliau juga turut mengungkapkan bahawa sejumlah RM3.5 juta telah diperuntukkan untuk promosi pelancongan di Perlis pada tahun lalu.
Dalam pada itu Shukri menjelaskan permohonan kerajaan negeri untuk peruntukan khas menaik taraf lokasi pelancongan, sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 belum diterima.
“Negeri lain yang menganjurkan TMPs telah menerima peruntukan, kecuali Perlis yang masih tidak mendapat berita positif.
“Kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan MOTAC demi memajukan industri pelancongan.
“Justeru saya berharap isu peruntukan ini dapat diselesaikan dengan segera demi kebaikan semua pihak,” tambahnya.
Ahli Dewan Negeri (Adun) Sanglang itu sebelum ini pada kenyataan media 10 Januari lalu, merasa agak kecewa atas ketiadaan maklum balas daripada MOTAC berhubung pemohonan peruntukan pelancongan berkenaan.
Menteri MOTAC juga jelasnya tidak memberikan jawapan berhubung permohonan kerajaan negeri untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara tersebut.
Lebih daripada 3.2 juta kemasukan pelancong ke negeri ini dari Januari hingga Oktober 2023.
Oleh itu, isu peruntukan itu menjadi fokus utama dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan Perlis yang semakin berkembang. – HARAKAHDAILY 13/1/2024











