
GEORGETOWN: Kerajaan negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) disifatkan gagal mengurus gangguan bekalan air yang berlaku sejak semalam.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, krisis terbabit memperlihatkan perbalahan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan dengan Ketua Menteri.
“Apa yang mengejutkan dalam isu air ini ialah surat rayuan daripada 19 Adun dan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang kepada Ketua Menteri.
“Ini memberi satu gambaran bahawa tidak ada komunikasi yang baik sesama Adun dan ahli parlimen PH sendiri serta menampakkan perbalahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Fauzi yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang menduga sama ada wujud konspirasi terancang yang sedang berjalan dengan menggunakan isu gangguan air yang menjejaskan hampir seluruh penduduk negeri ini.
Menurutnya lagi, ketiadaan kerjasama sesama Adun kerajaan menyebabkan pengabaian bantuan bekalan air kepada rakyat.
Beliau turut mempertikaikan sikap PBAPP yang mengasingkan taklimat berkenaan air antara blok pembangkang dan blok kerajaan yang telah diadakan pada Jumaat lepas.
“Taklimat pihak PBAPP kepada Adun kerajaan dan pembangkang dibuat dalam majlis berlainan. Persoalannya apa kewajaran mereka berbuat demikian?
“Apa motifnya? Tak adillah jika rakyat di kawasan pembangkang tidak dipedulikan,” ujarnya kesal.
Jelasnya, sejak semalam situasi yang melanda sebahagian rakyat dilihat panik dan tertunggu-tunggu ‘tanker’ yang menyalurkan bekalan air.
“Kerajaan dan PBAPP hanya memberi notis dan jadual gangguan bekalan air tetapi gagal memberi maklumat dan jadual bantuan penyaluran bekalan air kepada rakyat keseluruhannya,” ujar Adun Sungai Dua itu lagi.
Beliau menekankan kerajaan negeri dan PBAPP supaya bertanggungjawab atas segala kesulitan yang terpaksa dilalui rakyat.
Kegagalan ini katanya turut menjejaskan para peniaga makanan yang tiada pilihan melainkan terpaksa meneruskan perniaga meskipun berhadapan gangguan bekalan air demi untuk menyara keluarga mereka.
“Sebagai tanda simpati dan keprihatinan terhadap kesusahan yang ditanggung oleh rakyat maka saya menyarankan agar pihak kerajaan negeri dan PBAPP memberi rebet potongan bil air pada bulan hadapan sebagai imbalan kepada kerugian yang di alami oleh para peniaga sepanjang tempoh gangguan bekalan air ini,” katanya lagi.
Terdahulu, PBAPP mengumumkan kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula jam 6 pagi pada 10 Januari hingga jam 6 pagi 14 Januari.
Gangguan terbabit bertujuan membolehkan kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY












