Tindakan PM dedah isi perbincangan disifatkan luar biasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri bertindak mendedahkan kepada awam mengenai isi perbincangan dengan Yang di-Pertuan Agong adalah satu perkara luar biasa, demikian pandangan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden.

Menurut beliau, isi perbincangan empat mata itu statusnya ‘rahsia’ yang bermakna segala isi perbincangan antara kedua pemimpin tidak boleh didedahkan kepada orang lain, apatah lagi orang awam. 

- Advertisement -

“Ini polisi biasa. Jika pihak istana ada apa-apa pendirian rasmi tentang sesuatu isu, biasanya dikeluarkan sendiri oleh mana-mana pegawai tinggi Istana. Biasanya begitu. PM mengeluarkan kenyataan mewakili Kerajaan Persekutuan, itu biasa. 

“PM keluarkan kenyataan mewakili Agong, itu luar biasa. Lebih luar biasa, media rasmi Istana Negara tidak pula melaporkan seperti apa yang dilaporkan oleh PM. Luar biasa sama erti dengan luar tabii. 

“Perbuatan yang ikut tabii, itu boleh diterima. Tapi perbuatan yang luar tabii, itu bahaya dan perlu ditolak,” ujar beliau dipercayai merujuk isu muat naik Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam.

Ahli Parlimen Alor Setar itu menjelaskan, sesi sembah maklum itu tidak rahsia dan perkara biasa, sebab itu ia boleh dipaparkan di dalam media di mana foto pertemuan tersebut boleh ditonton oleh orang ramai di dalam media sosial atau akhbar.

Terdahulu kupasnya, pertemuan seorang Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong – bagi Persekutuan atau Menteri Besar menghadap Sultan – bagi Negeri, adalah satu urusan pentadbiran yang biasa berlaku secara rutin mingguan. 

“Kenapa mingguan? Kerana setiap minggu ada Mesyuarat Kabinet (peringkat Persekutuan) atau Mesyuarat Exco (peringkat Negeri). Kebiasaannya mesyuarat ini berlaku pada hari Rabu. 

“Ketetapan hari boleh berubah, samada hari Rabu, atau pada hari Jumaat (ketika sesi Sidang Parlimen), atau pada hari Selasa (diawalkan sehari) atau pada hari lain yang difikirkan sesuai pada minggu berkenaan.

“Setiap kali sebelum mesyuarat tersebut, Perdana Menteri akan sembah maklum kepada Tuanku kertas-kertas mesyuarat yang akan dibincangkan dan diputuskan. Kebiasaannya, sesi sembah maklum ini hanya melibatkan empat mata sahaja,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 10/1/2024

- Advertisement -