
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berpandangan setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan tiga rang undang-undang berkaitan tenaga dan elektrik, ia merupakan satu sejarah penting.
Beliau berkata, selepas Sidang Khas DUN 3 Januari lepas, negeri itu sudah mempunyai Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
“Tiga rang undang-undang diluluskan iaitu Rang Undang-undang Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, Rang Undang-undang Bekalan Elektrik 2024 dan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu 2024,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas berhubung kronologi penyerahan kuasa beliau berkata, ia bermula pada 3 Oktober 2022 apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan, selaku Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada masa itu membentangkan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2022 dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 3 Oktober 2022.
”Pada pandangan saya, setelah DUN Sabah meluluskan ketiga-tiga rang undang-undang ini, ia merupakan satu sejarah penting,” katanya.
Menurut beliau yang juga ADUN Dilantik, selepas ini rakyat Sabah akan terus menikmati bekalan tenaga elektrik yang lebih baik. – HARAKAHDAILY 5/1/2024











