PADU: Lancar dahulu, uji kemudian?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemusatan data merentas kementerian dan agensi penting diadakan supaya rakyat tidak lagi terbeban dengan keperluan mengisi borang yang memerlukan butiran dan jenis data sama berulang kali.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, Pangkalan Data Utama (PADU) yang baru dilancarkan oleh kerajaan mungkin menjadi instrumen dalam menyelesaikan isu ini. 

- Advertisement -

Malah, beliau mengakui kepentingan mempunyai data sedemikian dalam tadbir urus dan perkhidmatan yang antara lain menyelesaikan masalah ketirisan pemberian bantuan dan subsidi bersasar.

“Lihat sahaja setiap tahun, pasti akan ada borang peringkat kementerian yang perlu diisi berulang kali. Kalau tanya saya pun, mengisi borang adalah perkara yang sangat membosankan.

“Seperti biasa, instrumen yang pertama kali dibangunkan apatah lagi dalam masa yang singkat, belum benar-benar stabil dan banyak kelemahannya. 

“Oleh itu, seawal pelancaran PADU, sudah ada isu-isu dan masalah yang dibangkitkan oleh rakyat berhubung sistem tersebut. Yang menggusarkan ialah sistem ini mengendalikan data raya mencecah juta. 

“Maka, ciri-ciri keselamatannya perlu diperketat dan dijamin perlindungannya supaya tidak mudah digodam oleh mana-mana pihak,” ujarnya.

Bagi memastikan perkara ini terlaksana kata beliau, seharusnya seawal perancangan dan pembangunannya lagi, instrumen ini perlu mengikut disiplin dan prosedur yang benar. 

“Uji kaji awal perlu dilaksanakan dan sebarang ralat serta kelemahan perlu dibaiki. Dalam hal ini, sudah ada juga beberapa pakar yang menegur dan membangkitkan keperluan untuk PADU ini diuji berulang kali dahulu sebelum dilancarkan. 

“Kerana inilah asas dalam membangunkan apa-apa model atau instrumen sebelum digunakan secara rasmi,” ujar beliau. 

Menurut beliau, sedangkan dalam kajian peringkat akademik juga, kajian rintis pada skala kecil perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan pada populasi sebenar. 

Apatah lagi katanya, pada perkara yang melibatkan data berskala besar, namun, yang berlaku sekarang adalah sebaliknya iaitu lancar dahulu, uji kemudian. 

Tidak cukup dengan itu bidasnya, Akta Omnibus yang merupakan akta keselamatan untuk melindungi data-data tersebut juga akan disusuli kemudian.

“Yang penting, gempak dan gah. Mungkin ini formula baru Rafizi. Lancar dahulu, uji kemudian. Apa-apapun, saya tak nak ulas banyak. 

“Kali ini saya komen ‘baik-baik’ dahulu, Kita nantikan prestasinya beberapa bulan lagi. Lepas tu, kita ‘sembang’ lain,” sinisnya. – HARAKAHDAILY 5/1/2024

- Advertisement -