Lawatan ke Turkiye buka kerjasama pendidikan

Rushdan Rusmi menyerahkan plug kepada Pengerusi Universiti Gedik, Hulya Gedik.
- Advertisement -

PADANG BESAR: Lawatan kerja Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi ke Turkiye pada November lalu berjaya membuka pintu kerjasama khususnya bidang pendidikan.

- Advertisement -

Jelas beliau, antaranya melibatkan penyelidikan, pembelajaran dan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Dalam pada itu katanya lagi, kerjasama itu melangkah jauh menerusi jalinan pendidikan teknikal dengan Istanbul Technic University (ITU) dan Gedik University, Istanbul, Turkiye.

“Perbincangan tersebut memberi penumpuan kepada perkongsian penyelidikan dan pembelajaran yang bukan sahaja di peringkat akademik tetapi juga melibatkan usaha bersama dari segi ekonomi.

“Hubungan itu penting kerana ia melibatkan pelbagai aspek untuk kejayaan bersama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Rushdan berkata, kedua-dua universiti tersebut setuju untuk bekerjasama lebih erat melalui program pertukaran pelajar dan pensyarah.

“Hasil pertemuan ini juga mencetuskan pelbagai peluang untuk pelajar dan penyelidik dari kedua-dua negara, dan diharapkan akan memberikan impak positif terhadap pembangunan pendidikan teknikal dan hubungan ekonomi di kawasan tersebut.

“Malah kerjasama antara Malaysia dan Turki di bidang pendidikan teknikal memberi harapan untuk membentuk modal insan yang berkualiti dan memenuhi keperluan masa depan,” katanya lagi.

Delegasi turut disertai Pengarah Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar (SMRI) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Ir. Ts. Dr-Ing. Yupiter HP Manurung; Pusat Kecemerlangan Al-Jazari dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP),  Ir. Dr Irfan Abd Rahim  dan pegawai penyelidik SMRI-UiTM.

Pada pertemuan itu, Prof. Ir. Ts. Dr-Ing. Yupiter HP Manurung turut membentangkan berkenaan penyelidikan terkini dan peluang kerjasama. – HARAKAHDAILY 5/1/2024

- Advertisement -