
KOTA KINABALU: “Setiausaha ibarat sebagai enjin dalam jemaah, jika enjin enjin bermasalah, maka yang lain pun akan bermasalah,” kata Setiausaha PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid.
Katanya, setiap setiausaha perlu faham peranannya, jika tidak akan membawa masalah terhadap organisasi.
“Pimpinan yang baik sahaja tidak cukup, kena ada juga pengurusan yang baik dan tersusun, barulah organisasi berjalan dengan baik.
“Komunikasi antara pimpinan dan setiausaha juga penting, setiausaha kena sentiasa proaktif dalam memastikan ada tindakan susulan hasil mesyuarat dan pimpinan terlibat perlu segera merespons terhadap tindakan itu,” ujarnya sewaktu berucap pada Konvensyen Setiausaha PAS Sabah di Dewan Utama USIA, di sini, semalam.
Kata beliau, program itu dianjurkan bagi memberi tunjuk ajar kepada para setiausaha dan penolong setiausaha perkara-perkara penting dalam pengurusan organisasi supaya dapat mengurus dengan baik dan berkesan.
Beliau berharap agar segala apa yang telah disampaikan oleh para panel jemputan dalam konvensyen itu dapat dipraktikkan dalam setiap peringkat dari negeri sehingga cawangan.
Seramai 100 orang peserta dari kalangan setiausaha dan penolong setiausaha PAS kawasan dan cawangan yang hadir
Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Aliakbar Gulasan dan Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil. – HARAKAHDAILY 1/1/2024











