
TUMPAT: Negeri yang diterajui PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera apabila tetap menyalur peruntukan kepada pembangkang.
Dua Adun pembangkang di Kelantan masing-masing menerima peruntukan di bawah Rancangan Kecil Pembangunan (RKP) sebanyak RM250,000 setahun.
Malah difahamkan Adun Kota Lama Dr Hafizah Mustakim dan Adun Galas Mohd Syahbuddin Hashim turut menerima banyak lagi peruntukan lain daripada kerajaan Pusat.
Setiausaha PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata, dengan adanya peruntukan tersebut membolehkan mereka melaksana projek pembangunan kecil di kawasan masing-masing.
Katanya peruntukan seumpama itu diagih sejak penggal lepas kepada semua Adun pembangkang bagi membantu mereka melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Pada penggal lepas ada tujuh Adun pembangkang di Kelantan, namun penggal ini berkurang kepada hanya dua orang,” katanya ketika ditemui di sini.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas Umno gagal mempertahankan lima kerusi Dun iaitu Bukit Bunga, Kok Lanas, Gual Ipoh, Paloh dan Nenggiri. Kesemua kerusi tersebut dimenangi Bersatu.
Manakala Dun Air Lanas terus dipertahankan Bersatu melalui Dato’ Kamaruddin Mohd Nor.
Ditanya post mortem kekalahan PAS di Dun Kota Lama pada PRN lepas, Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, beberapa faktor dikenal pasti antaranya ramai perantau tidak pulang mengundi.
Katanya, disebabkan kemenangan besar PAS di kerusi parlimen Kota Bharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menyebabkan ramai pengundi tidak pulang mengundi pada PRN.
Selain itu kata beliau faktor cuti sehari menyebabkan ramai pengundi yang bekerja di luar Kelantan tidak sempat balik mengundi.
“Malah ketika itu juga pelajar sebahagian besar universiti sedang menduduki peperiksaan menyebabkan ramai pengundi muda tidak sempat balik mengundi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/1/2024











