
KUANTAN: Kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam adalah berunsur 3R.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu menegaskan bahawa kenyataan tersebut dengan jelas telah menyentuh sensitiviti agama Islam dan kuasa Raja-raja Melayu.
Sehubungan itu, beliau mewakili PAS Pahang menyokong titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam mengingatkan orang bukan Islam tidak boleh mencampuri urusan hal ehwal orang Islam.
Katanya, Malaysia dibina berasaskan kontrak sosial iaitu faham memahami antara satu sama lain serta saling menghormati antara kaum dan agama lain.
“Kita tidak pernah menganggu urusan agama lain. Maka kita harap mereka yang bukan beragama Islam jangan ganggu hal ehwal orang Islam,” tegasnya.
Beliau menegaskan laporan polis dibuat sebagai memberi peringatan kepada orang bukan Islam jangan sewenang-wenangnya keluarkan kenyataan yang memberi tanda mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.
“PAS di seluruh Pahang iaitu setiap kawasan akan membuat laporan polis di pejabat polis kawasan masing-masing,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/12/2023











