
KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan penurunan daripada 5,983 direkodkan semalam kepada 4,476 mangsa setakat 4.00 petang ini.
Berdasarkan data dikemas kini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 1,216 keluarga berlindung di 45 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.
Dungun ketika ini mencatatkan paling ramai mangsa dengan 2,892 orang daripada 795 keluarga berada di 30 PPS.
Diikuti dengan seramai 642 mangsa daripada 179 keluarga berada di empat PPS di Hulu Terengganu.
Sebanyak 392 mangsa daripada 105 keluarga pula berada di dua PPS di Kuala Nerus.
Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Kemaman mempunyai 204 mangsa daripada 50 keluarga di tiga PPS.
Kata beliau, seramai 188 mangsa daripada 49 keluarga berada di tiga PPS di Kuala Terengganu.
Sebanyak satu PPS yang menempatkan 121 mangsa daripada 31 keluarga di Marang.
Setiu pula mempunyai 37 mangsa daripada tujuh keluarga berada di dua PPS manakala di Besut, tiada lagi mangsa direkodkan. – HARAKAHDAILY 28/12/2023











