
ALOR SETAR: Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) melakar lembaran baharu apabila berjaya meraih kejayaan lepasi Audit Pensijilan ISO 21001:2018 Educational Organization Management System (EOMS) Peringkat Kedua.
Perkara berkenaan diumumkan oleh Ketua Audit SIRIM QAS International Sdn. Bhd, Maznah Mat Isa selepas
mesyuarat Penutup Lawatan Audit Pensijilan ISO 21001:2018 EOMS Peringkat Kedua di Dewan Senat, UniSHAMS, sebelum ini.
Pada mesyuarat itu, beliau dan Juruaudit SIRIM QAS International Sdn. Bhd, Mohamad Hamidi Yusof membentangkan laporan penemuan audit sepanjang berlangsungnya pengauditan selama empat hari, bermula 19 November.
“UniSHAMS berjaya mengenal pasti tindakan kawalan risiko dan peluang dalam setiap proses yang terlibat di dalam pelaksanaan EOMS,” jelas beliau.
Ujar beliau lagi, keberkesanan tindakan kawalan risiko dan peluang tersebut diukur berdasarkan pencapaian prestasi proses yang diselaraskan dengan pencapaian KPI Pelan Strategik UniSHAMS 2021-2035.
KPI tersebut meliputi lima tonggak utama iaitu Kecemerlangan Akademik; Kecemerlangan Pelajar; Kelestarian Kewangan; Kelestarian Institusi dan Tadbir Urus.
UniSHAMS dijangka akan menerima Sijil Perakuan Pensijilan ISO 21001:2018 EOMS oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd., yang meliputi skop pemberian perkhidmatan pendidikan pada peringkat Asasi, Prasiswazah, Pascasiswazah dan Perkhidmatan Sokongan. – HARAKAHDAILY 23/12/2023











