
KUALA TERENGGANU: Kejadian tanah runtuh berhampiran Flat Bukit Kecil di sini sudah setahun berlaku dan masih dalam tindakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Memburukkan keadaan lagi apabila taburan hujan yang tinggi telah menyebabkan runtuhan tanah semakin teruk dan runtuhan baharu telah berlaku di kawasan sekitar.
Dimaklumkan permohonan sebanyak RM3 juta telah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi kerja-kerja pembaikan tanah runtuh.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datu Ahmad Amzad Hashim ketika ditemui berkata, kerja-kerja pemasangan kanvas akan dilakukan segera sebagai langkah berjaga-jaga.
“Saya telah berhubung dengan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan masalah tanah runtuh ini.
“Alhamdulillah respons yang baik daripada Menteri Besar, peruntukan khas akan disalurkan untuk kerja-kerja pemasangan kanvas,” tambahnya lagi.
Semalam, lawatan segera telah dibuat di tempat kejadian dengan disertai oleh Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan dan ADUN Ladang, Zuraida Md Noor.
Zuraida ketika ditemui menasihati semua penduduk agar sentiasa berjaga-jaga kerana Monsun Timur Laut atau dan musim tengkujuh di negara ini dijangka berterusan sehingga Mac 2024.
“Penduduk diminta untuk sentiasa peka terhadap sebarang arahan dan makluman pihak berwajib,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/12/2023












