
SUDAH dua kali dalam masa dua minggu, Presiden PAS menulis berkenaan sifat orang-orang munafik dalam kolum beliau, Minda Presiden. Semua kenyataan dan dakwaan beliau sama ada melalui tulisan mahupun kuliah dan ceramah seperti biasa semenjak dahulu akan diiringi dengan dalil-dalil dari al-Quran dan Hadis bagi memperkukuhkan kenyataan beliau. Begitulah sikap orang-orang yang beriman, kalam Allah dan Hadis Rasulullah, tidak pernah ditinggalkan, membawa kepada maksud, perkataan beliau pasti tidak akan sesat, kerana sebagaimana pesan Rasulullah dua hal ini, al-Quran dan Hadis, tinggalan teragung Baginda kepada umat Baginda untuk kekal di jalan yang lurus.
Namun, sebagaimana kemas sekalipun dalil-dalil aqli dan nakli yang dibawakan, tetaplah golongan yang terasa ia ditujukan kepada mereka itu membalas semula kenyataan menentang dakwaan Presiden PAS itu. Ia bukan kerana salah kenyataan, tetapi hanya kerana ia datang dari Presiden PAS, sosok yang mereka benci. Tiada bezanya dengan kisah terdahulu, bilamana semua anbiak, orang-orang beriman yang memberikan teguran menggunakan dalil agama, ramai yang akan marah. Malah tidak kurang dibunuh juga. Ada empat sifat munafik yang diketahui semua. Mungkir janji, bercakap bohong, khianati amanah dan melampau apabila berkelahi.
Semua ibu bapa tidak mahu anak-anak mereka mempunyai sifat munafik ini kerana ia adalah sifat yang jahat. Maka pastinya tidaklah elok bagi pimpinan negara mempunyai akhlak sebegitu. Jadi untuk berlaku adil, marilah kita mencari akan kesamaan berhubung kenyataan oleh TS Presiden PAS iaitu berkenaan sifat munafik itu. Amatlah wajar kita meninjau sedalam-dalamnya, agar kita dapat melihat, adakah sifat-sifat munafik itu ada dalam diri kita. Jika ada, kita perlu meninggalkannya selari dengan amaran Allah yang orang munafik itu, tinggalnya nanti di dalam neraka. Hidup di dunia dibenci orang, merana pula dia di dalam neraka Allah di akhirat nanti.
Empat sifat PAS
Tunai janji. PAS membuat janji yang sangat munasabah dan boleh dicapai untuk dilaksanakan. Akhirnya PAS berjaya menunaikan semua manifestonya selaras dengan janji-janji mereka kepada rakyat. Parti lain, tidak percaya yang PAS berjaya menunaikan janji-janji, maka diserangnya PAS dengan fitnah. Sedangkan mereka banyak yang sama ada gagal, sengaja tidak mahu menunaikan janji-janji atau formula yang mereka cipta sebelum berkuasa dahulu gagal. Ini kerana janji mereka bulan dan bintang.
Bercakap bohong. PAS tidak perlu berbohong kepada rakyat dengan cerita retorik sebagaimana sesetengah parti yang berkata mahu memberikan keadilan kepada semua negeri atas hak-hak yang sepatutnya mereka perolehi seperti royalti Petroleum, kemudian menipu. Tetapi PAS membenarkan kata-kata mereka dengan memberikan hak yang sama kepada semua rakyat, tanpa mengira latar belakang atau ideologi mereka. Termasuklah memberikan penghormatan kepada wakil rakyat pembangkang dengan peruntukan yang sama. Tidak pernah PAS menyuruh pembangkang datang menyembah mereka untuk diberikan bantuan.
Apabila diberi amanah, mereka berkhianat. PAS memastikan segala bentuk kepercayaan dan amanah yang diberikan rakyat kepada mereka ditunaikan dengan sebaiknya. Ia seperti banyak GLC yang gagal atau rugi besar sebelum ini, PAS menjadikan GLC itu untung atau dibaik pulih, tidak rugi. Ini semua duit rakyat. Sama juga seperti kes rasuah, PAS tidak pernah didakwa menyeleweng wang rakyat. Parti lain, kita boleh lihat sendiri. Pimpinan PAS tidak ramai yang kaya. Walaupun sudah bergelar YB, mereka masih miskin. Tidak seperti pimpinan parti lain.
Apabila berkelahi, mereka melampaui batas. Sikap seperti ini tidak ada dalam PAS. Sebab itu, jika ada musuh ketat PAS yang mahu mengadakan hubungan demi untuk Islam, PAS rela melupakan sengketa. PAS tidak berdendam dengan mengejar musuhnya apabila ada kuasa di tangan. Tidak mahu menyambung perbalahan lama walau jelas PAS difitnah. Sikap ini dapat kita bezakan dengan parti lain yang bila berkuasa, kerjanya mengejar musuh, membuat sekatan itu, membuat ugutan ini dan bermacam-macam lagi.
Jadi jelas sekali, empat kriteria munafik itu, tidak terdapat dalam PAS. Walaupun PAS bukan jemaah yang sempurna, tetapi PAS sangat kuat menjaga hubungan dengan Allah, supaya menjadi jemaah yang dekat dengan Allah. Musuh PAS jangan bersedih kerana walaupun mereka mempunyai semua ciri-ciri munafik itu, kerana jalan taubat masih terbuka luas. Sebaliknya janganlah pula ditambah lagi sifat keji kelima itu seperti dengan menjadi balaci kepada musuh Islam. Marilah kita sama-sama berjalan ke jalan yang lurus. Inilah maksud kepada tulisan TS Presiden PAS.
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 22/12/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











