
ENAM puluh enam tahun negara Merdeka, rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama menghuni tanah bertuah ini dengan penuh rukun dan damai. Masing-masing hidup dan mencari rezeki dengan anak-anak menimba ilmu dalam suasana tenang.
Tidak dinafikan ada juga kes-kes terpencil pergeseran dan perselisihan faham tapi semuanya diselesaikan dengan baik lantaran kematangan sikap dan pemikiran masing-masing warga Malaysia.
Kecuali Peristiwa Hitam 13 Mei, insiden rusuhan kaum terbesar selepas PRU ke tiga, tiada lagi insiden seumpamanya selepas itu hinggalah ke hari ini mencerminkan betapa rakyat Malaysia sudah ambil iktibar dan tidak mahu lagi terjerumus ke kancah malang itu yang hanya merugikan semua. Politik ekstrem dan rasis perlu dielakkan.
Tidak seperti negara lain, hanya di Malaysia rakyat pelbagai kaum dan agama dapat hidup bersama mengamalkan adat dan kepercayaan masing-masing dalam suasana penuh toleran tanpa bimbang terhadap sebarang ancaman pada keselamatan dan nyawa masing-masing.
Siapa sahaja orang Melayu, Cina, India atau kaum lain di Borneo yang bekerja dan berusaha keras dapat berjaya sehingga terbit sebagai jutawan dan hartawan. Masing-masing bebas memiliki aset, harta dan tanah. Malah rekod menunjukkan bahawa kaum Cina dan India jauh mendahului kaum Melayu dalam senarai jutawan terbesar dalam negara walaupun Perdana Menterinya Melayu.
Di Malaysia semua kaum berhak bertanding dalam pilihan raya dan dipilih menjadi wakil rakyat. Di Malaysia selain kaum Melayu yang majoriti, kaum Cina dan India juga ada yang menjadi Menteri dan Timbalan Menteri, di Pulau Pinang seorang bukan-Melayu menjadi Ketua Menteri. Demikianlah keterbukaan rakyat Malaysia.
Tidak pernah dalam tempoh enam puluh enam tahun Merdeka, mana-mana pihak bukan-Melayu mempertikai dan menuntut jawatan Perdana Menteri walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut yang jawatan ini hak eksklusif warga Bumiputera atau Melayu. Ini kerana semua pihak sedar dengan peratusan penduduk teramai iaitu 69.4 peratus Bumiputera (banci 2020) yang mana Melayu mewakili lebih 58.7 peratus, maka selayaknya Perdana Menteri Malaysia terdiri dari kaum Bumiputera/ Melayu.
Status quo ini kekal dan tidak pernah dicabar kecualilah baru-baru ini apabila veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mencetuskannya. Dalam perjumpaannya dengan pelajar Malaysia di United Kingdom pada 29 November lalu beliau dilaporkan telah berhujah berkenaan gagasan ‘Impian Malaysia’ atau ‘Malaysian Dream’ (ubah sedikit dari ‘Malaysian Malaysia’).
Beliau menyatakan Perlembagaan Malaysia tidak menghalang seorang bukan-Melayu menjadi Perdana Menteri dan ‘Impian Malaysia’ ini membayangkan sebuah Malaysia yang mewakili impian semua kaum, bukannya tertumpu pada satu-satu kaum. Ini bermakna siapa pun boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Dan baru-baru ini selepas selesai diambil kenyataan oleh pihak Polis, Kit Siang mengesahkan kenyataan beliau itu dan mengulangi bahawa beliau sedar dalam tempoh 100 tahun beliau tidak mengharapkan Malaysia melahirkan seorang Perdana Menteri bukan-Melayu, tetapi janganlah menunggu sehingga 223 tahun, iaitu merujuk kepada Barack Obama, Presiden kulit hitam Amerika Syarikat yang pertama menjadi Presiden hanya setelah 223 tahun AS Merdeka.
Kononnya menurut Kit Siang jika Malaysia mahu menjadi sebuah negara taraf dunia, yang mampu bercakap berkenaan perubahan iklim, AI, teknologi hijau dan angkasa kita perlu mengejar impian ini. Kita perlu bebaskan Malaysia dari kongkongan agama dan kaum.
Kemudian Pengerusi DAP, Lim Guan Eng pula menyokong kenyataan bapanya dengan berkata bahawa kalau kita mahu negara kita maju dengan baik maka kita jangan lagi menjerat diri kita dengan isu-isu kaum dan agama. Guan Eng mengambil UK sebagai contoh bila mana rakyat di sana berjaya mengangkat seorang keturunan minoriti India beragama Hindu iaitu Rishi Sunak sebagai Perdana Menterinya.
Ramai yang terganggu dan bimbang dengan kenyataan Kit Siang serta Guan Eng ini. Mengapakah jawatan Perdana Menteri yang sejak Merdeka dipegang oleh seorang Melayu beragama Islam, hari ini mahu diusulkan agar diberikan kepada kaum lain?
Benar Artikel 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi dalam negara hanya mensyarakatkan kelayakan seorang Perdana Menteri mestilah seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada pandangan Yang Dipertuan Agong memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat. Ia tidak menyebut bangsa atau agama Ahli Parlimen tadi. Tetapi tidakkah selama ini seorang Melayu menjadi Perdana Menteri kerana menghormati kaum berkenaan yang merupakan majoriti dalam negara?
Perpaduan dalam negara kita dibina kerana masing-masing rakyat Malaysia sedar sejarah dan kedudukan masing-masing dalam negara. Kenapa Lim anak beranak tidak mempertikaikan Singapura, yang sejak Merdeka hanya melantik seorang keturunan Cina sebagai Perdana Menterinya? Mengapa tidak Melayu atau India Singapura?
Dan walaupun seorang Cina kekal sebagai Perdana Menteri Singapura, Singapura tetap maju malah lebih maju dari Malaysia hari ini.
Juga kenapa Lim anak-beranak tidak pula berminat mengusulkan agar Ketua Menteri Pulau Pinang yang diperintah DAP diberikan kepada seorang India atau Melayu? Kenapa tidak cuba dengan negeri sendiri? Jika DAP pun tidak berminat melantik seorang India atau Melayu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang mengapa paksa rakyat Malaysia untuk ubah ‘status quo’?
Saya kira rakyat Malaysia berpuas-hati dan tidak pernah mempertikaikan status Perdana Menterinya atas isu kaum sejak dari era Almarhum Tunku, Tun Razak, Tun Hussien, Tun Dr Mahathir, Pak Lah, Datuk Seri Najib hinggalah kini Anwar. Malaysia boleh sahaja jadi maju dan ternama dengan Perdana Menteri yang didukung rakyat, bangsa atau agamanya tidak pernah dipertikaikan. Adakah Lim bersaudara mahu menuntut seorang Cina atau India menjadi Perdana Menteri Malaysia di waktu rakyat Malaysia tiada masalah dengan seorang Perdana Menteri berbangsa Melayu?
Saya melihat ‘Malaysian Dream’ itu sebenarnya ‘Malaysian Malaysia’, gagasan PAP yang dianuti DAP, yang mahu memadamkan identiti kaum. DAP mahu Malaysia yang menganggap semua sama-rata tanpa ada keistimewaan walaupun dijanjikan oleh kontrak sosial pra Merdeka.
Tidakkah ini nanti mengancam kedudukan orang Melayu dan agama Islam?
Sepatutnya enam puluh enam tahun Merdeka, kita bergerak ke hadapan dengan menghargai status quo yang ada, jaga kepentingan semua kaum, melangkah ikut acuan Malaysia, bukannya gagasan asing yang hanya mahu merobohkan apa yang telah kita bina selama ini.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 20/12/2023











