
KUALA TERENGGANU: Tiada keperluan untuk mengembalikan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti yang dicadangkan oleh Ketua DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Tun Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri pernah menolak untuk diadakan pilihan raya berkenaan.
“Tun sebut pada disember 2018 ketika menjawat jawatan Perdana Menteri bawah PH ‘Tiada pilihan raya Kerajaan Tempatan kerana ia boleh mengeluarkan hasil yang salah.
“Tun juga berkata bahawa pilihan raya PBT boleh mengundang konflik antara kaum dan melebarkan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar,” katanya ketika diminta mengulas berhubung artikel yang disiarkan oleh Bernama baru-baru ini.
Kok Wai pada Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berlangsung baru-baru ini dilaporkan menggesa pilihan raya PBT di ibu negara dilaksanakan dalam usaha menegakkan demokrasi.
Katanya, pelaksanaan pilihan raya PBT akan membawa kepada ibu negara yang mampan, mengamalkan tadbir urus berkesan, bersih dan berpaksikan rakyat.
Menurut Wan Sukairi yang juga Adun Wakaf Mempelam, pilihan raya berkenaan boleh mewujudkan penguasaan sesuatu kaum di dalam kerajaan tempatan.
“Ada kemungkinan sekiranya diadakan pilihan raya, berpotensi menyemarakkan ketegangan kaum dan mungkin boleh terjadi ketidakadilan kepada kaum minoriti,” katanya.
Selain itu, kata beliau, pembaziran akan berlaku akibat penganjuran pilihan raya PBT. – HARAKAHDAILY 19/12/2023











