Jangan layan penduduk asal seperti pengemis

- Advertisement -

PERMOHONAN untuk pemberimilikan tanah sama ada oleh individu atau syarikat di negeri-negeri akan diluluskan oleh mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau mesyuarat Exco.

Maklumat permohonan secara terperinci akan disediakan oleh Pejabat Tanah Dan Daerah (PTD) yang berkaitan dan akan diteliti oleh mesyuarat Exco sebelum keputusan dibuat sama ada untuk meluluskan atau menolak.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai Exco di Selangor dahulu, mesyuarat Exco boleh terus membuat keputusan atau menangguhkannya kerana mahukan maklumat lanjut.

Maklumat ini diperolehi sama ada melalui PTD tersebut atau dengan melakukan lawatan tapak. Lawatan ini boleh dilakukan oleh pegawai kerajaan atau mesyuarat boleh memohon wakil rakyat kawasan itu untuk memberi maklum balas.

Kadang-kala seorang Exco akan diarah membuat siasatan dengan melakukan siasatan tapak atau berjumpa dengan pemohon. Sepanjang 10 tahun sebagai Exco, saya telah terlibat secara langsung dengan siasatan-siasatan seperti itu.

Ia selalunya berlaku bagi kes-kes yang tidak jelas atau yang mencurigakan. Terdapat kes-kes di mana maklumat di atas kertas memerlukan penjelasan terperinci. Kadang-kala maklumat yang diberikan juga berbeza dari keadaan di atas tanah.

Di antara kes yang mengejutkan adalah satu permohonan di dalam kawasan Dewan Negeri saya. Apabila saya turun ke bawah, saya dapati tanah yang dipohon telah diduduki dan sebuah rumah telah dibina di atasnya. Pemilik rumah adalah imam di sebuah surau di situ dan berumur lebih 70 tahun. Bayangkan berapa lama beliau telah tinggal di situ.

Memang tidak terfikir ada yang sanggup melakukan ‘kerja gila’ memohon tanah yang telah diduduki sekian lama. Mungkin silap imam tersebut kerana tidak memohon tanah yang beliau duduki.

Beliau bukan menduduki secara haram tetapi lot-lot tanah di kampung itu telah diagihkan kepada penduduk oleh kerajaan dan penduduk perlu membayar kos rumah yang dibina oleh kerajaan. Terpulang kepada penduduk untuk memohon tanah dan imam tersebut telah gagal melakukannya.

Tetapi terdapat satu kes yang agak menyedihkan. Seorang pemilik tanah mengadu telah diarah keluar dari tanah yang dia sekeluarga duduki kerana tanah itu telah diberimilik kepada individu yang lain. Individu tersebut telah membuat permohonan.

Walaupun pemilik rumah yang dihalau itu tidak membuat permohonan namun semakan ke atas permohonan yang telah diluluskan telah menimbulkan tanda tanya. Kertas permohonan yang dibentangkan dan diluluskan oleh mesyuarat Exco (bukan di zaman Pakatan Rakyat 2008 – 2018) menyatakan tanah tersebut adalah tanah kosong.

Mesyuarat Exco ketika itu hanya menerima sahaja laporan yang diberi tanpa menyemak keadaan di atas tapak. Akhirnya Kerajaan Pakatan Rakyat di atas dasar belas ihsan telah mencarikan tanah ganti untuk pemilik rumah tersebut. Tetapi yang menyedihkan tanah itu dipohon dan diluluskan kepada saudara terdekat individu yang dihalau. Ini jelas kes ‘saudara makan saudara’.

Isu tanah diberimilik kepada orang lain ketika sudah terdapat penduduk adalah satu isu yang telah wujud sejak dari dahulu dan masih berlaku hari ini. Bukan semua kerajaan mempunyai rasa tanggungjawab seperti Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang mengambil kira mereka yang sedang menduduki tanah. Tetapi ada yang melihat mereka sebagai penceroboh dan mencurigai kehadiran mereka.

Penceroboh ini kononnya tidak memiliki sebarang hak walaupun mereka telah menetap berpuluh tahun sebelum tanah itu diberimilik kepada orang lain. Kadang-kala mereka ini dijemput datang untuk membuka kampung seperti selepas peristiwa 13 Mei di mana orang Melayu digalakkan untuk datang ke bandar-bandar besar tetapi hari ini ada yang dilayan seperti pengemis. Atau mereka ini yang datang ke bandar untuk menjadi pekerja-pekerja kilang ketika ekonomi negara bergerak ke arah perindustrian tetapi hari ini ada yang layan seperti penjenayah.

Mereka ini di satu masa dahulu dikenali sebagai ‘setinggan’ tetapi di Selangor selepas 2008 mereka dikenali sebagai ‘peneroka bandar’ sesuai dengan sumbangan mereka yang besar kepada negara. Mereka telah berkorban membuka hutan belukar di pinggir bandar dan tanah-tanah lombong yang ditinggalkan sehingga hari ini bertukar menjadi kawasan-kawasan rebutan pemaju. Justeru tidak wajar sebarang penyelesaian adalah sekadar melepaskan batuk di tangga tetapi satu penyelesaian yang bermaruah.

Bukan penyelesaian yang tidak memungkinkan mereka terus tinggal di bandar atau lebih kepada agenda tersembunyi untuk menghalau mereka keluar dari kota. Tetapi penyelesaian yang menjanjikan keselesaan hidup yang setaraf dengan penduduk di pembangunan yang baharu dan bukan bersesak-sesak bagaikan burung merpati. Mana-mana kerajaan tidak sewajarnya memandang mereka dengan sebelah mata.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
19 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 19/12/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -