
KOTA BHARU: Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyerah sepenuhnya kepada Pengurusan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) membuat pemutihan terhadap dakwaan penipuan bantuan kepada mangsa banjir.
Pemutihan itu akan dilakukan PKOB dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato’ Seri Nancy Shukri berkata, siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti mengenai dakwaan tersebut.
“Kita akan siasat terlebih dahulu kerana pada saat ini apa yang lebih penting kita memberi tumpuan membantu mangsa banjir.
“Kita juga memikirkan perkara itu tidak begitu berat. Apa yang penting memastikan keselamatan mangsa banjir,” katanya pada sidang media selepas melawat Depoh Simpanan Keperluan Bencana di Taman Kemumin, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup.
Sebelum ini ada mangsa banjir mendakwa berlaku peningkatan jumlah mangsa banjir secara mendadak di Rantau Panjang yang dibimbang ada unsur penipuan yang melibatkan bukan mangsa banjir.
Nancy juga berkata, pegawai bertugas sudah biasa menangani masalah yang timbul di lapangan. – HARAKAHDAILY 18/12/2023











