
KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi menyifatkan kemiskinan sesebuah negeri tidak boleh diukur dengan hanya berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pengukuran KDNK perlu melihat pebagai kemajuan ekonomi di setiap negeri.
Katanya, pengukuran juga perlu melihat kualiti hidup penduduk dan perkembangan perniagaan.
“KDNK di sesebuah negeri yang rendah tidak bermakna ramai penduduknya adalah miskin dan tidak mempunyai kemajuan,” katanya di sini.
Oleb itu kata beliau kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang menggunakan KDNK sebagai alat pengukur kemiskinan sesebuah negeri di Dewan Rakyat baru-baru ini tidak menggambarkan situasi sebenar.
Beliau berkata, KDNK tidak boleh dijadikan satu-satunya alat pengukur dalam menentukan sama ada sesebuah negeri mempunyai kemajuan atau sebaliknya.
“Ini kerana setiap negeri mempunyai kelebihan ekonomi yang tersendiri,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, untuk mengukur kadar kemiskinan di mana-mana negeri sekalipun mempunyai pengiraan yang lebih spesifik seperti mengambil kira bilangan isi rumah dan jumlah penduduk negeri tersebut. – HARAKAHDAILY 18/12/2023











