
KUALA LUMPUR: Penuhi masa ketika sekolah bercuti ini dengan aktiviti yang bermanfaat, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurutnya, antara aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh ibu bapa bersama anak-anak adalah untuk memperelokkan ibadah solat, seperti bacaan dan pergerakan yang menjadi rukun dalam solat.
Katanya, Islam amat menitikberatkan ibadah solat sejak kecil.
“Maka, ajarkan bacaan dalam solat dengan betul semenjak anak kita masih kecil. Ulangi bacaan sehingga mereka berjaya hafal,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, malam ini.
Beliau juga berkata, beri keyakinan kepada anak-anak lelaki untuk melaungkan azan dan solat berjemaah di masjid.
“Amat membimbangkan kita hari ini, peratusan umat Islam yang menunaikan solat sangat rendah.
“Kesan daripada itu, banyak berlakunya masalah sosial dan kemungkaran di sekeliling kita,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Justeru, ujar beliau semaikan dalam jiwa anak-anak suruhan Allah akan perintah solat.
Tambahnya, tegakkan agama anak-anak dengan solat. – HARAKAHDAILY 18/12/2023











