
IPOH: PDRM Perak telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai satu kemalangan jalan raya di Jalan Taman Jati, di sini melibatkan sebuah kereta dan sebuah motosikal pada jam 12.40 petang, hari ini
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, siasatan pihak polis di tempat kejadian mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis perodua Ativa dan sebuah motosikal jenis Yamaha.
“Dalam kes ini, penunggang motosikal seorang lelaki Melayu berumur 17 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta seorang lelaki Melayu berumur 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Katanya, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati punca kematian adalah kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat daripada kemalangan jalan raya (chest and abdomen injuries due to road traffic crash).
Tambahnya, pada perkembangan lain, pemandu kereta berkenaan, seorang pegawai kanan polis dari PDRM Kontinjen Kedah, telah pun ditahan dan akan direman esok untuk siasatan lanjut.
Pada masa yang sama, ujarnya PDRM turut menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya lagi, pihak PDRM tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawainya sendiri sekiranya mempunyai bukti yang kukuh.
Katanya, orang awam yang mengetahui atau melihat kejadian tersebut diminta berhubung dengan Insp. Jong Pit Chiao, pengawai penyiasat kes di talian 016-8849163.
Tambahnya, orang awam juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan ataupun boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam. – HARAKAHDAILY 15/12/2023











