Pelajar UMK berjaya raih jualan enam angka

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Syed Muhammad Hafiz Seeni Mohd, 23, biarpun masih bergelar mahasiswa namun sudah meraih jualan sehingga enam angka dengan menjual mee sotong segera.

- Advertisement -

Hafiz kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Bioindustri) di Fakulti Biokejuruteraan Dan Teknologi (FBKT), UMK Kampus Jeli.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu tidak pernah menjadikan alasan sibuk dengan kuliah dan tugasan sebagai halangan untuknya menceburi  perniagaan.

Beliau mengendali syarikat Seeni Food & Beverages Sdn Bhd yang diusahakan sejak tahun 2021 selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

Menurut Hafiz, perniagaan Seeni Mee Sotong yang diusahanya merupakan cita rasa dan resepi asli dari Pulau Mutiara yang diperolehi dari ayahnya sejak beliau berusia sembilan tahun.

Katanya, mee sotongnya amat istimewa dan mempunyai keunikan tersendiri kerana bahan dan resepi asli diwarisi bapanya.

“Pada usia sembilan tahun saya mengikut dan menolong ayah berniaga di kaki lima setiap hari. Berniaga tepi jalan terpaksa berpanas dan berhujan.

“Melihat keperitan dan kesusahan ayah berniaga di tepi jalan untuk menyara keluarga mendorong saya untuk mengubah nasib keluarga dengan menukar sistem perniagaan street food kepada teknologi retort,” katanya di sini.

Menurutnya perniagaan Seeni Food & Beverages memfokus kepada pasaran produk makanan dan minuman segera seperti mee sotong segera, mee segera perisa Jepun dan pes makanan.

Selain itu, Hafiz juga memperkenalkan produk minuman herba iaitu sherbat yang dihasilkan sendiri.

“Dengan inovasi ini saya dapat memperkenalkan makanan dan minuman istimewa Pulau Mutiara untuk dinikmati pelanggan tanpa perlu bersusah payah pergi ke Pulau Pinang.

Menurutnya juga pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan memberi impak negatif kepada banyak perniagaan termasuk restoran kecil milik keluarganya.

Namun beliau tidak berdiam diri dan bermula dari ujian itu Hafiz bangkit dengan memulakan transformasi perniagaan makanan dan minuman segera melalui teknologi retort.

“Hanya bermodal wang simpanan dan pendapatan yang diperolehi daripada keuntungan berniaga mee sotong di tepi jalan, karnival keusahawanan, kiosk niaga dalam kampus universiti serta bantuan geran perniagaan dari agensi keusahawanan saya mula membangunkan syarikat ini.

“Saya tidak menyangka model perniagaan ini mendapat sambutan luar biasa pelanggan kerana asalnya menggoreng mee dalam kuali kini berjaya memperkenalkan mee sotong segera (teknologi retort),” jelasnya yang mendaftar syarikat perniagaan SSU di bawah Institut Keusahawanan UMK (UMKEI).

Hafiz optimis untuk membangunkan produk mee sotong segera ke peringkat antarabangsa seperti Korea Selatan dan berjaya mengeskport produk mee segera (ramyeon) pada Januari 2023.

Untuk permulaan produk mee sotong segera boleh didapati terus dari kedai dan kilang di Georgetown, kedai-kedai runcit, stesen minyak terpilih dan secara dalam talian menerusi Shopee dan Tiktok Shop.

“Produk Seeni Mee Sotong mencatat jualan melebihi RM100,000 untuk tempoh setahun iaitu pada tahun 2021 hingga 2022,” katanya.

Menurut Hafiz untuk menambah ilmu perniagaan beliau turut mengikuti pelbagai kursus, bengkel, pertandingan dan pameran keusahawanan di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau juga berjaya meraih pengiktirafan dan anugerah keusahawanan termasuk Gold Award bagi kategori Sales Achievement award program COMPETE@MOHE’22 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Hafiz juga mendapat Naib Juara Program Corporate Directors Training Programme: Trailblazer Cup 2022 anjuran Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) dan menerima hadiah wang tunai RM1,000.

Selain itu tempat ketiga kategori Lifestyle program Startup International League 2022 anjuran Princess of Naradhiwas University (PNU), Thailand; peserta dan penerima dana Bank Rakyat Unipreneur 2.0 berjumlah RM3,000.

Melalui kejayaan itu Hafiz menerima dana Student-Preneur And Biz Apprenticeship (SPACE) 1.0 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ) berjumlah RM10,000.

Beliau juga menerima anugerah Ikon Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2022; Ikon Inspirasi Belia Pulau Pinang 2023; penerima anugerah Young Entrepreneur Of The Year 2023 IMEC; penerima anugerah Bumiputera Business Excellence Award; penerima anugerah Penghargaan Keusahawanan Siswa UMK 2023 dan penerima anugerah Best Innovation Award Asti Challenge.

Beliau bersyukur kerana kejayaan dan pencapaian itu adalah hasil bimbingan dan pendidikan keusahawanan yang diperolehi di UMK.

“Saya berterima kasih kepada UMK terutamanya pensyarah mentor Dr Safwan dan semua warga UMKEI yang banyak membimbing dan memberikan peluang kepada saya menerusi penyertaan program-program keusahawanan.

“Saya berharap Seeni Mee Sotong boleh menembusi pasaran di pasar raya terkemuka di Malaysia dan juga beberapa pasaran baru di luar negara antaranya Singapura, Hong Kong, China, Macau dan UAE.

“Lebih besar harapan saya, perniagaan ini mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan menyasarkan untuk mengembangkan Seeni Mee Sotong menjadi jenama francais makanan terkemuka di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/12/2023

- Advertisement -