‘PAS sudah sedia dari awal untuk perintah negara’

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
- Advertisement -

KANGAR: Umno perlu kembali kepada penyatuan ummah jika mahu mendapat kembali kepercayaan orang Melayu.

- Advertisement -

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan terbaharu Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman memberi isyarat jelas bahawa parti itu semakin ditolak oleh pengundi Melayu.

Justeru itu, ujarnya, PAS bersedia menggantikan Umno sebagai parti utama yang mendapat kepercayaan orang Melayu Islam sekali gus memimpin negara sekiranya menang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“PAS sudah sedia daripada awal untuk memerintah negara namun dalam PRU15 nasib tidak menyebelahi kita dan gabungan PERIKATAN NASIONAL (PN).

“Kita mempunyai pemimpin berpontensi memimpin negara malah Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri mengakui sebelum ini Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Terengganu) antara calon sesuai diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri ke-11.

“Saya juga yakin Ahmad Samsuri yang menang besar dalam PRK Parlimen Kemaman baru-baru ini juga sedia memimpin negara (sebagai Perdana Menteri),” katanya kepada Harakahdaily.

Untuk rekod, kekuatan PAS bersama gabungan PN telah mencetuskan ‘gelombang rakyat’ yang disebut ‘gelombang hijau’ oleh sesetengah pihak semasa PRU15 sehingga parti itu kini mempunyai seramai 43 ahli parlimen.

Malah, pada PRN di enam negeri sebelum ini juga PAS membuktikan kecemerlangan selepas memenangi 105 daripada 126 kerusi yang ditandingi mereka.

Pencapaian luar biasa itu menunjukkan PAS mempunyai kekuatan akar umbi dan sokongan daripada orang Melayu yang cukup kuat khususnya dalam kalangan anak muda.

Menurut Tuan Guru Hashim lagi, Umno kini diibarat seperti kanser tahap lima yang boleh berubat namun sudah sukar untuk dipulihkan.

“Tukar pemimpin bagaimana sekalipun Umno sudah sukar dipulihkan dan jika mereka masih meneruskan keadaan seperti sekarang ia akan menyebabkan ajal parti berkenaan  semakin hampir.

“Salah satu cara ialah Umno kembali kepada penyatuan ummah. Itulah satu-satu cara untuk selamatkan mereka dan kita sentiasa terbuka menerima parti itu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/12/2023

- Advertisement -