‘Tidak perlu patah semangat satukan parti Melayu’

Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua pemimpin parti-parti teras Melayu Islam harus berlapang dada membina kekuatan bersama demi menjaga negara Malaysia daripada dijajah oleh kuasa asing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata demikian, susulan kenyataan media yang dikeluarkan semalam oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi bahawa ‘Umno tidak perlu lagi memikirkan kerjasama parti itu dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS)’. 

- Advertisement -

“Buat masa ini tidak perlu difikirkan lagi kerjasama Umno-PAS. Ia tidak ke mana. Asasnya ialah politik. Ia tidak kekal dan tidak bermanfaat.

“Peluang itu terlepas sejak gagalnya Muafakat Nasional. Ketika itu, isu ICERD dan Statut Rom menyatukan UMNO-Pas. Tetapi bila faktor politik masuk ia membantut kerjasama itu,” ujar Puad dalam kenyataannya itu. 

Sehubungan itu Ahmad Yunus berkata, dalam hal ini tidak perlu ada patah semangat dalam menyatukan parti-parti Melayu Islam kerana membina hubungan yang baik sesama manusia amatlah dituntut dalam Islam.

“Musuh kita akan terus memecahkan orang-orang Islam kerana kejayaan kita adalah apabila semua orang-orang Islam tidak kira apa kaum kaumnya bersatu,” ujarnya. 

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa mengatakan bahawa seruan kepada penyatuan dan perpaduan ummah sangat dititikberatkan untuk memperkuatkan umat Islam bagi menghadapi pelbagai cabaran terhadap ajaran Islam. 

“Sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama, kita seharusnya melihat seruan agar orang Melayu dan umat Islam bersatu dari perspektif lebih besar. 

“Kesatuan majoriti akan membawa kita kepada kestabilan politik dan keuntungan ekonomi,” ujarnya.

Mohd Zai Mustafa

Katanya lagi perpaduan merupakan aset terpenting Malaysia kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati oleh masyarakat di negara ini. Ibarat pepatah Melayu  ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

“Seruan perpaduan adalah seruan Islam bagi menjaga kekuatan Islam dalam pelbagai sudut termasuk politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain lagi,” tegasnya.

Tambah beliau, kenyataan yang dikeluarkan oleh Puad semalam seolah-olah telah menolak perpaduan ummah yang boleh menyebabkan timbulnya fahaman sempit sehingga boleh melemahkan hubungan sesama individu di atas dunia ini.

“Masyarakat yang berpecah akan hilang kekuatan dan maruahnya. Perpecahan akan membawa kehancuran kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zai turut memberitahu bahawa banyak negara yang penganutnya beragama Islam telah berpecah dan hilang kuasa dan negara mereka akan dijajah oleh kuasa asing sebagaimana yang berlaku kepada negara Islam di timur tengah. 

“Mereka sentiasa berada dalam kelemahan dan bergantung kepada kuasa asing.

“Perpecahan akan membawa kepada hilangnya kuasa politik dan seterusnya menyebabkan maruah, agama dan bangsa boleh diperkotak kaitkan oleh orang lain,” jelasnya.

Lantaran itu, beliau berkata seruan kepada penyatuan ummah merentasi fahaman ideologi parti politik mesti diteruskan malah diperkasakan lagi bagi menjamin hak-hak dan kuasa ummat Islam dan terus terjamin di negara ini.

“Sudah sampai masanya pemimpin-pemimpin Islam dan parti-parti Melayu Islam di negara ini duduk di meja perundingan bagi membincangkan kekuatan bersama bagi mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu Berpelembagaan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputra di Malaysia,” katanya.  HARAKAHDAILY 7/12/2023

- Advertisement -