
KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail, hari ini mengemukakan usul di Dewan Negara untuk mendesak kerajaan menyatakan solidariti tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu menyatakan kecaman terhadap tindakan Israel yang terus menerus mengamalkan dasar aparteid, penjajahan dan pembunuhan beramai-ramai insan tidak bersalah.
Menurutnya, usul itu dibuat kerana kerana konflik tersebut membabitkan kepentingan negara memandangkan Palestin mempunyai hubungan diplomatik Malaysia.
“Maka adalah penting bagi Malaysia secara konsisten bersuara menentang kezaliman dan membawa keadilan sebagai usaha dimainkan oleh Malaysia dalam komuniti antarabangsa.
“Usul ini berkehendak disegerakan kerana keangkuhan rejim zionis yang enggan meneruskan gencatan senjata dan terus menggila hingga meragut 15,500 nyawa,” katanya.
Usul yang dikemukakan melalui Perkara 17(1) itu turut melibatkan kepentingan orang ramai kerana tindakan mengebom penempatan awam termasuk sekolah, hospital, kem pelarian dan sebagainya.
Konflik itu, katanya menyebabkan Israel memutuskan bekalan elektrik, air dan menyekat bekalan bantuan makanan kepada orang awam yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Menurutnya, jika situasi tegang itu berterusan, ia pasti akan menjejaskan kestabilan dan keamanan dunia, manakala rakyat yang tidak bersalah dibunuh saban hari.
“Justeru saya mendesak kerajaan Malaysia agar terus berperanan di peringkat antarabangsa untuk memberi tekanan terhadap kuasa besar dunia agar segera menamatkan konflik tersebut.
“Besar harapan saya agar perkara ini mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Yang Dipertua Dewan Negara serta keizinan majlis mesyuarat demi kepentingan rakyat, usul saya,” katanya.
Sementara itu Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya menerima satu pemberitahuan di bawah usul Perkara 17 (1) semalam.
Beliau berkata usul yang dibangkitkan perlu mendapatkan persetujuan dan pertimbangan seramai 70 senator selain menentukan usul tersebut menepati tiga syarat ditetapkan Dewan Negara.
Pertama, katanya perkara itu bersifat tertentu, kedua bersifat bagi kepentingan orang ramai dan terakhir iaitu hendaklah disegerakan dan setelah penelitian dibuat, usul itu memenuhi syarat.
“Jadi saya membenarkan usul ini untuk dibahaskan mengikut perkara 17(3), usul ini akan dibahaskan pada petang ini, Rabu dalam persidangan dewan bermula jam 4.30 petang hingga 5.30 petang.
“Saya membenarkan pihak pencadang membahaskan usul ini selama 10 minit,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/12/2023











