
MEMBACA kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Isham Jalil yang mengulas kemenangan PAS dalam PRK Kemaman baru-baru ini memberikan kelegaan pada kita bahawa masih ada pimpinan Umno yang rasional dan teguh mahu memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara.
Isham menegaskan Umno perlu kembali memperjuangkan penyatuan parti-parti Melayu jika ingin mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu yang kini sudah beralih kepada PERIKATAN NASIONAL (PN).
Kita yakin dan percaya bukan sahaja Isham malah ramai di kalangan pimpinan dan ahli serta penyokong Umno lebih selesa duduk di bawah payung perjuangan ummah bersama parti-parti Melayu Islam lain sebagaimana dahulu semasa Muafakat Nasional, dari bersekongkol dan bekerjasama dengan DAP dan rakan-rakan lain dalam Kerajaan Campuran PH-BN hari ini.
Malah di Kemaman pun ramai ahli dan penyokong Umno sesungguhnya telah beralih angin dengan memangkah Dr Samsuri (Dr Sam) sehingga memberikan PAS kemenangan besar, manakala Umno susut lebih 10,000 undi.
Jangan sesekali kita pandang rendah dan ‘under estimate’ kesungguhan politik orang-orang Melayu tidak kiralah yang berparti atau tidak. Mereka juga celik dan mampu membaca perkembangan politik. Ini bukan tahun 60-an atau 70-an di mana mereka sekadar mengikut arus dan akur dengan kehendak pimpinan.
Kebangkitan ‘gelombang hijau’ dalam PRU Parlimen dan Negeri ke-15 baru-baru ini adalah bukti di mana umat Melayu juga memiliki kemampuan menuntut serta membuat perubahan apabila nasib dan kepentingan mereka diabai dan tidak lagi diperjuangkan.
Mereka bosan dan mual dengan kepimpinan Melayu yang mereka naikkan, tetapi telah mencabul kepercayaan mereka apabila terlibat dengan amalan rasuah, salah guna kuasa, menyamun dan merompak wang rakyat. Dan mereka lebih marah apabila kepimpinan Melayu membelakangkan peluang untuk bermuafakat dan bersatu sebaliknya memilih untuk bekerjasama dengan parti-parti yang ekstrem dan rasis yang ditentang selama ini.
Isham melihat Kemaman sebagai bukti bahawa umat Melayu wajar bersatu untuk membina kekuatan politik bagi memimpin dan meneraju ummah dan negara.
Timbalan Presiden PAS Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta-merta memberi respon positif bahawa PAS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Umno walau pernah melalui pengalaman pahit. PAS sentiasa mendukung dan tidak pernah menggugurkan agenda penting Penyatuan Ummah dengan syarat mereka yang mahu bersama mendukung agenda ini perlulah bersama-sama PERIKATAN NASIONAL.
PN telah buktikan bahawa umat Melayu Islam yang bangkit melalui ‘Gelombang Hijau’ PRU15 lalu dan PRK Kemaman baru-baru ini telah memilih untuk bersama-sama mereka.
Lantas inilah masa dan peluang terbaik untuk semua umat Melayu termasuklah ahli dan pendukung Umno untuk bersama membina kembali kekuatan politik ummah demi mengembalikan kestabilan politik dan memacu negara kembali ke landasan yang sebenar.
(Kajian Merdeka Centre Oktober lalu mendapati 60 peratus respondennya menyatakan kerajaan hari ini sedang dipandu ke arah tuju yang tidak betul)
Kemaman membuktikan umat Melayu Islam tidak dapat menerima kehadiran DAP yang dominan di dalam Kerajaan. Selagi Umno di bawah kepimpinan Zahid kekal menjalin hubungan dengan DAP melalui pakatan PH-BN, selagi itulah mereka akan ditolak umat Melayu Islam.
Segeralah sahut gesaan Isham dan kembalilah kita bermuafakat demi kepentingan ummah kerana ‘Gelombang Hijau’ ini akan terus membadai bersama atau tanpa Umno.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 6/12/2023












