
KUALA LUMPUR: PAS mengetengahkan isu berkenaan jurang pembangunan antara negeri-negeri pada persidangan Dewan Negara, hari ini.
Senator Dato’ Husain Awang meminta Menteri Ekonomi menyatakan inisiatif kerajaan untuk membantu pembangunan infrastruktur dan penyaluran dana pembangunan untuk negeri di Pantai Timur khususnya Terengganu bagi mengurangkan jurang pembangunan antara negeri-negeri di Malaysia.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu mengemukakan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff pula meminta menteri yang sama menyatakan adakah kerajaan bercadang agar peruntukan kepada negeri-negeri yang ketinggalan dalam pembangunan diberikan hak sama rata sebagaimana negeri-negeri membangun yang lain.
Berikut ialah senarai soalan Ahli Dewan Negara daripada PAS, Bersatu dan Gerakan, hari ini.
Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Menteri Ekonomi menyatakan sejauh manakah kejayaan pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), program kesejahteraan rakyat dan pembasmian kemiskinan serta berapakah peratusan daripada kumpulan sasar ini yang telah dapat keluar daripada miskin tegar terutamanya di Kelantan.
Datuk Razali bin Idris minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan jumlah lulusan diploma graduan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) yang melanjutkan pendidikan di peringkat sarjana muda di universiti awam sejak tahun 2018 sehingga sekarang.
Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan pelan tindakan Kerajaan dalam memberi galakan kepada usahawan bukan Bumiputera yang berada dalam sektor industri kecil dan sederhana (IKS).
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian minta Menteri Kesihatan menyatakan status mengenai pemberian autonomi kesihatan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak memandangkan pemberian kuasa pentadbiran untuk sektor pendidikan dan kesihatan di Sabah serta Sarawak terutamanya pengambilan petugas merupakan antara perkara penting yang sedang dibincangkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Sekretariat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tuan Musoddak bin Ahmad minta Perdana Menteri menyatakan peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam melindungi golongan warga emas daripada berterusan menjadi mangsa panggilan penipuan dalam talian.
Tuan Haji Hussin bin Ismail minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan jumlah stok simpanan beras negara dan statistik berdasarkan kategori daripada sumber tempatan atau import.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah usaha yang dilakukan oleh Kementerian bagi meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara dan juga kadar simpanan stok (stockpile) selaras dengan strategi utama Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.
Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan supaya tidak berlaku kenaikan harga ayam mentah apabila subsidi ayam ditarik balik.
Datuk Razali bin Idris minta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah kebenaran Malaysia sebagai ibu pejabat scammer berdasarkan laporan Kementerian Kewangan mengenai kerugian akibat penipuan dalam talian dari 2019 hingga Mei 2023 yang berjumlah RM2.6 bilion.
Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Menteri Ekonomi menyatakan adakah Kerajaan bercadang agar peruntukan kepada negeri-negeri yang ketinggalan dalam pembangunan diberikan hak sama rata sebagaimana negeri-negeri membangun yang lain.
Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris minta Menteri Ekonomi menyatakan sejauh manakah penerimaan rakyat terhadap mekanisme Kerajaan bagi membantu golongan miskin melalui program Inisiatif Pendapatan Rakyat.
Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Ekonomi menyatakan inisiatif Kerajaan untuk membantu pembangunan infrastruktur dan penyaluran dana pembangunan untuk negeri di Pantai Timur khususnya Terengganu bagi mengurangkan jurang pembangunan antara negeri-negeri di Malaysia.
Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan mekanisme yang diguna pakai oleh Kementerian dalam memperkasakan program pembangunan atlet para di peringkat akar umbi bagi memastikan kesinambungan kejayaan kontinjen negara untuk menghadapi Sukan Paralimpik Paris 2024.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian minta Menteri Pendidikan menyatakan bagaimanakah Kerajaan mengukur keberkesanan program pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang diterapkan kepada pelajar sekolah menengah.
Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz minta Menteri Pertahanan menyatakan berapakah perbelanjaan pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 di Lubnan dan apakah jaminan kebajikan kepada ahli keluarga semasa melaksanakan misi di luar negara. – HARAKAHDAILY 4/12/2023











