
KERAJAAN perlu lebih tegas dan komited dalam memastikan segala aktiviti dan acara yang dilaksanakan berada atas landasan syariat Islam sebenar.
Dalam perbahasan Belanjawan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini, beberapa isu dan persoalan yang telah disuarakan untuk pertimbangan kerajaan:
1. Apakah langkah-langkah penguatkuasaan pelancongan dari Kementerian terhadap pengendali haram pakej umrah/melancong tanpa lesen bagi mengelak supaya rakyat tidak berterusan ditipu?
Cadangan saya agar mewujudkan Tourism Police di seluruh Lapangan Terbang Antarabangsa di Malaysia untuk mengawal selia dan melakukan penguatkuasaan terhadap mereka atau agensi yang menyalahi undang-undang.
Dalam masa sama, saya memohon penjelasan berkenaan penetapan kadar bayaran balik bagi jemaah umrah yang membatalkan perjalanan.
2. Berkaitan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bakal memberikan ‘rating’ atau penarafan gred untuk kesemua 925 agensi pengurusan umrah di seluruh negara.
Persoalannya, apakah mekanisma yang akan digunakan untuk penarafan ini? Ianya perlu dipantau agar ia tidak disalahguna dan membunuh syarikat-syarikat kecil.
3. Pelancong dari Timur Tengah lebih banyak memilih ke Bangkok Thailand dan Maldives berbanding ke Malaysia, ini dapat dilihat dari kekerapan sektor penerbangan ke dua-dua negara berbanding ke Kuala Lumpur. Punca masalah adalah dari harga yang mencekik darah yang dikenakan oleh pihak hotel, kereta sewa, teksi, restoran dan lain-lain.
Berkaitan perkara tersebut, apakah bentuk pengawalan harga yang boleh dikenakan oleh kementerian bagi mengatasi masalah ini?
Ketika perbahasan, saya mengingatkan sidang dewan tentang Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah bagi pertandingan ratu cantik Miss World Noble Queen yang akan berlangsung bulan depan.
Namun terdapat beberapa orang ahli parlimen dengan menyatakan bahawa penganjuran tersebut adalah bertujuan menarik pelancong asing sekali gus membantu kenaikan ekonomi negara.
Ketegasan saya nyatakan sekali lagi bahawa masih banyak lagi cara dan usaha untuk menarik kedatangan pelancong asing ke Malaysia selain cara yang mengundang laknat Allah SWT.
Apatah lagi situasi terkini dunia dengan isu yang berlaku di Palestin begitu juga di negara kita berhadapan dengan musim banjir namun pihak kerajaan seakan membutakan mata dan memekakkan telinga dengan berpandangan ini adalah satu usaha menarik kedatangan pelancong luar.
مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي، ثُمَّ يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا، ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوا، إِلَّا يُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ
“Tidaklah kemaksiatan yang dilakukukan oleh sesuatu kaum, sedangkan sebahagian daripada mereka mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemkian, melainkan Allah SWT akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab.” (Hadis Sahih Riwayat Abu Daud)
Sedangkan jika Allah SWT turunkan bala tidak tertentu pada beberapa tempat sahaja tapi sebaliknya semua akan turut terima kesannya.
YB USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB
Ahli Parlimen Parit
23 November 2023/10 Jamadil Awal 1445 – HARAKAHDAILY 23/11/2023











