
DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengecam seorang ahli politik bukan-Melayu yang tidak bertanggungjawab menjadikan syariat agama Islam sebagai bahan sinis.
Dalam satu ciapan beliau di aplikasi X bertarikh 22 November 2023, beliau dengan sinis menyerang PAS yang seringkali membantah kemasukan artis-artis Barat ke Malaysia tetapi dalam masa yang sama mengharuskan poligami.
DUPP ingin menegaskan bahawa jangan sesekali heret perbincangan mengenai kemasukan artis Barat dengan isu-isu syariat yang sensitif dalam masyarakat. Tindakan tersebut amat jelas menggambarkan kebiadaban beliau terhadap syariat Islam.
Bantahan PAS terhadap konsert artis daripada Barat mempunyai justifikasinya tersendiri berpandukan ajaran agama. Tidak usah mengajar umat Islam mana yang perlu menjadi pegangan syariat dan mana yang tidak:
“Untuk kamu agama kamu, untuk kami agama kami.” (Surah Al-Kafirun: 6)
Isu poligami biarpun sensitif dalam masyarakat Muslim dalam negara ini tetap merupakan sebahagian daripada syariat yang ditetap serta diharuskan oleh Allah S.W.T. Ini adalah panduan Al-Quran dalam Surah An-Nisa ayat ketiga.
Persoalannya, mengapa sampai begitu sekali kebiadaban ahli politik bukan-Melayu terhadap ajaran Islam dan bagaimana mereka berani menggunakan syariat agama sebagai bahan sinis?
DUPP menggesa pihak berkuasa mengambil langkah yang sepatutnya. Isu 3R sedemikian tidak seharusnya diberikan toleransi kerana dibimbangi merosakkan keharmonian dalam negara. Tolak ansur yang tidak bertempat hanya mengundang seribu satu penghinaan terhadap syariat agama.
“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”
DATO’ USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) – HARAKAHDAILY 23/11/2023











