
KETIKA anda menggelarkan himpunan munajat dan solat hajat rakyat Kelantan di Stadium dalam isu mempertahan enakmen syariah yang dicabar di mahkamah sebagai penunggang agama, anda memberikan talian hayat kepada penganjuran Konsert Coldplay di stadium yang ditegur agamawan dengan justifikasi turut menyokong Palestin. Semudah dan sesenang itu sifir anda melakukan pembodohan atas darat.
Ketika anda melalui tangan-tangan pentadbiran membatalkan ceramah dan kuliah agama dengan sekatan yang tidak semenggah, anda mengumpan janji membenarkan konsert Coldplay dengan helah merujuk mufti. Namun melalui tangan-tangan kotor anda menjamah mufti sekadar secubit lalu menganggap pandangan itu sebagai debu di angin lalu.
Anda ambil apa yang anda mahu sekalipun mendatangkan rosak pada rakyat. Anda tolak apa yang tidak sebulu nafsu disebabkan dendam politik kepartian walau rakyat dahagakan tarbiah ulamak. Hakikatnya anda adalah perosak.
Anda diamkan maksiat dan anda tolak pandangan ulamak. Anda selangkan konsert dengan munajat atas menunjuk kata anda adalah terbuka, boleh belaka. Anda boleh berubah wajah sekelip mata bagaikan sesumpah.
Anda campurkan madu dan racun dalam satu bekas, lalu anda paksa rakyat telan. Sedang anda tahu sekalipun madu itu berkhasiat tapi racun itu membinasa.
Coldplay, you did it again and again bro.
Salam hormat.
MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 23/11/2023











