
PUTRAJAYA: Penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar
di sekolah vernakular dianggap sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.
Perkara itu diputus Mahkamah Rayuan hari ini dengan panel tiga hakim diketuai Datuk Supang Lian. Hakim lain iaitu Datuk M Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan.
Sehubungan itu Mahkamah Rayuan menolak rayuan difailkan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini.
NGO terbabit iaitu Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Pada Disember 2019 lima NGO memfailkan saman dengan memohon deklarasi Seksyen 17 serta Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 adalah tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan ia perlu dibatalkan.
Saman terbabit dikemukakan terhadap kerajaan Malaysia, Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia serta Persatuan Tamilar Thurunal (Perak).
NGO berkenaan mencabar keabsahan sekolah vernakular dan menyatakan penggunaan bahasa Mandarin serta Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 23/11/2023











