‘Track record’ PN tidak masalah baiki keruncingan ekonomi

- Advertisement -

SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu semakin diterima oleh kaum Melayu berbanding dengan Umno.

- Advertisement -

“Maka, apabila Bersatu bergabung dengan PAS, PERIKATAN NASIONAL (PN) terus menjadi wadah perjuangan utama bagi umat Melayu di Malaysia.

“Musuh-musuh politik PN sebolehnya mahu menggagalkan kerjasama ini. Dalam masa yang sama, telah cuba untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu dengan mencipta ungkapan ‘Pemerintahan Taliban’.

“Sejurus PN berjaya memenangi 74 kerusi semasa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas, segera pihak-pihak ini mencipta ungkapan baru, ‘gelombang hijau’.

“Sekali lagi dengan harapan untuk menakutkan pengundi bukan Melayu dan mungkin sebilangan pengundi Melayu bandar dari mendekati PN,” kata beliau ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi dan Armada Bersatu Nasional Kali Ke-5 di Ideal Convention Centre (IDCC), dekat sini, hari ini. Majlis turut dihadiri Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Katanya lagi, terdahulu, kerajaan PN bukanlah kerajaan ekstremis atau rasis seperti yang cuba dilabelkan.

“Kerajaan PN adalah merupakan sebuah kerajaan yang berasaskan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum atau agama. Track record PN menunjukkan negara tidak mengalami masalah untuk memperbaiki keruncingan ekonomi.

“Sejurus pasca Covid, PN telah berjaya meletakkan ekonomi negara di kedudukan yang kukuh walaupun mengalami pelbagai kesukaran,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -