Kebakaran ladang burukkan pencemaran New Delhi

- Advertisement -

NEW DELHI: Asap beracun yang menyelubungi New Delhi menjadi lebih parah ketika kebakaran berleluasa di ladang berhampiran walaupun mahkamah mengeluarkan larangan berbuat demikian, menjadikan ibu negara India sebagai bandar paling tercemar di dunia.

Tahap pencemaran meningkat sejak awal minggu ini selepas penangguhan singkat dan langkah-langkah pencegahan sedang dibincangkan, tetapi rancangan untuk membuat hujan buatan melalui pembenihan awan untuk memerangi pencemaran ditolak kerana keadaan cuaca yang tidak sesuai

- Advertisement -

Bandar itu menduduki tempat teratas dalam senarai bandar paling tercemar di dunia dengan indeks kualiti udara 509 sekitar tengah hari, menurut kumpulan dari Switzerland, IQAir yang mengkategorikan kualiti udara sebagai “berbahaya”.

Terdapat lebih 2,500 kebakaran ladang di Punjab, utara Delhi, ketika petani tidak mempedulikan perintah Mahkamah Agung mengharamkan pembakaran sisa tanaman dan polis tempatan memberi amaran tindakan undang-undang terhadap mereka, lapor akhbar The Indian Express.

Kualiti udara di kawasan utara India bertambah buruk setiap musim sejuk apabila udara sejuk memerangkap pelepasan dari pelbagai sumber termasuk kenderaan, industri, habuk pembinaan dan pembakaran sisa pertanian.

Menteri Alam Sekitar, Gopal Rai memberitahu agensi berita ANI bahawa pihak berkuasa sedang berusaha untuk menguatkuasakan undang-undang dengan cara yang lebih baik dan satu mesyuarat akan diadakan untuk membincangkan langkah selanjutnya.

Setakat ini, New Delhi mengharamkan semua projek pembinaan, menutup sekolah untuk melindungi kanak-kanak, menghentikan kemasukan trak petrol dan diesel yang tidak penting ke dalam bandar dan mengerahkan kenderaan untuk menyembur air di udara untuk mengawal pencemaran.

Kekurangan litupan awan di bandar menyebabkan pembenihan awan yang pada asalnya dijadualkan sekitar 20 November tidak dapat dilakukan, kata Manindra Agrawal, seorang saintis di Institut Teknologi India di Kanpur, yang mengetuai percubaan itu.

“Radar minggu lalu menunjukkan liputan awan pada masa itu dan kini ia tidak lagi menunjukkannya,” kata Agrawal. – REUTERS

- Advertisement -