
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis menyampaikan dokumen hak milik tanah kepada 146 penduduk di negeri itu semalam.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri komited bagi memastikan semua permohonan hak milik tanah oleh rakyat diproses mengikut prosedur ditetapkan.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan semua permohonan tanah kerajaan diproses selaras dengan dasar semasa kerajaan Perlis.
“Setelah diproses kerajaan negeri akan mengeluarkan dokumen hak milik setelah notis 5A dijelaskan pemohon,” katanya pada majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik dan Notis 5A Jabatan Tanah dan Galian negeri di sini, semalam.
Penyerahan dokumen itu membabitkan 74 penerima dokumen hak milik dan 72 penerima dokumen Notis 5A yang melibatkan 61 penduduk dari Mukim Titi Tinggi dan dua penerima dari Mukim Jejawi.
Selain itu 29 penduduk dari Mukim Chuping, 28 penerima dari Mukim Beseri, lima penerima dari Mukim Padang Siding, tujuh penerima dari Mukim Arau, 10 penerima dari Mukim Kurong Anai dan seorang penerima masing-masing daripada Mukim Kayang, Mukim Sanglang, Mukim Sungai Adam, serta Mukim Utan Aji.
Mohd Shukri juga berkata, pemilik tanah hendaklah memastikan cukai tanah dibayar sebelum 31 Mei tahun semasa untuk mengelakkan daripada dikenakan denda lewat bayar.,
Menurutnya juga bermula tahun 2022, tiada lagi cetakan bil cukai tanah dikeluarkan, sebaliknya agenda berkaitan menyediakan platfom dalam talian bagi semakan dan bayaran cukai tanah melalui Portal e-Tanah Perlis (eTP).
“Pemilik tanah juga boleh menyimpan semua maklumat milikan tanah bagi pembayaran cukai tanah setiap tahun secara dalam talian di Portal eTP ini,” ujarnya.
Menteri Besar juga berkata, pemilik tanah tidak boleh melakukan sebarang pelanggaran syarat nyata tanah.
“Sebarang pelanggaran syarat nyata tanah boleh dikenakan denda di bawah Seksyen 125 Kanun Tanah Negara atau berdepan tindakan pelucutan tanah di bawah Seksyen 127 Kanun Tanah Negara.
“Sehubungan dengan itu, sebarang pembangunan yang ingin dijalankan di atas tanah hendaklah dirujuk kepada agensi berkaitan sebelum melaksanakan apa-apa pembangunan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/11/2023











