
KANGAR: Pertukaran dan penambahan portfolio dalam kalangan anggota Exco Perlis merupakan perkara biasa bagi melancarkan pentadbiran kerajaan negeri.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, perubahan tersebut berlaku berdasarkan pengalaman yang dilalui selepas setahun memegang tampuk kepimpinan negeri.
Katanya, adalah diharap dengan perubahan yang berlaku itu akan melicinkan lagi pentadbiran kerajaan negeri bagi tahun kedua.
“Pertukaran dan penambahan Exco mengikut kesesuaian dan keselesaan kerana sebelum ini kita rasa agak padat dengan tugas yang agak banyak.
“Perkara tersebut menyebabkan ada anggota Exco terpaksa berulang alik ke Putrajaya untuk menghadiri mesyuarat,” katanya pada sidang media di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Beliau juga berharap menerusi pelantikan Exco baharu akan melonjakkan lagi prestasi bagi memastikan kejayaan pemerintahan kerajaan PERIKATAN NASIONAL Perlis.
“Contohnya portfolio sukan yang sebelum ini diterajui Adun Santan, Muhammad Azmir Azizan agak berat kerana beliau ada banyak lagi portfolio lain.
“Jadi kali ini kita serahkan kepada Adun Tambung Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak supaya beliau dapat memartabatkan sukan dengan baik seperti manifesto kita sebelum ini.
“Lebih-lebih lagi tahun hadapan ada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, jadi kita berharap Perlis mampu membawa pulang pingat nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2023











