Perundangan Syariah dicabar: Ayuh kita ke Himpunan Pertahan

- Advertisement -

BADAN Perhubungan PAS Negeri Kedah ingin menyeru kepada semua pencinta undang-undang syariah untuk hadir bersama-sama menzahirkan solidariti mempertahankan perundangan syariah di Perkarangan Istana Kehakiman pada 20 November depan. 

Dasawarsa ini menyaksikan bagaimana satu demi satu sendi agama yang diperteguhkan dengan perundangan syariah negeri-negeri cuba diruntuhkan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Terkini melibatkan kes Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha yang mencabar 20 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 2019. Berdasarkan ikutan kes Iki Putra, cabaran yang dikemukakan tersebut boleh mengakibatkan kedudukan perundangan syariah di negeri-negeri runtuh sepenuhnya. 

Malah, pada Mac yang lalu juga menyaksikan 14 orang individu termasuklah Indira Gandhi telah memfailkan kes saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tujuh Kerajaan Negeri dan Wilayah Persekutuan.

Saman pemula ini melibatkan kes pengislaman sepihak dan mereka mendakwa peruntukan enakmen syariah negeri mengenai pengislaman sepihak sebagai terbatal dan bertentangan dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Kes demi kes yang berlaku ini seharusnya mengetuk pintu kesedaran dan perhatian daripada seluruh umat Islam untuk bangkit menyatakan keprihatinan dan kebimbangan terhadap perkembangan yang berlaku. Kita tidak rela undang-undang syariah ini disudutkan dan lama-kelamaan tenggelam hanyut ditelan arus masa. 

Oleh itu, PAS Negeri Kedah sekali lagi mengajak seluruh rakyat Negeri Kedah untuk ke Istana Kehakiman Putrajaya pada hari Isnin 20 November 2023 bagi menyatakan solidariti kita. Semoga usaha sedikit ini membangkitkan rasa tanggungjawab kita mempertahankan perundangan syariah dalam negara ini. 

Sekian, terima kasih.

DATO’ USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 15/11/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -