Kezaliman zionis Israel di Gaza buka mata dunia

- Advertisement -

12 November baru-baru ini bertempat di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah; dunia sekali lagi menjadi saksi bahawa sesungguhnya rakyat Malaysia dan Palestin seiring dalam perjuangan membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan rejim pengganas Zionis Israel.

- Advertisement -

Ia adalah rentetan daripada beberapa himpunan yang dianjurkan PAS sejak bermulanya ‘Taufan Al-Aqsa’ pada 7 Oktober lalu bagi menyatakan pendirian PAS serta rakyat Malaysia yang menyokong perjuangan rakyat Palestin di samping mengecam serangan udara dan pengeboman ganas yang dilakukan tentera pengganas rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Tidak hanya di Malaysia, himpunan dan demonstrasi yang menyokong perjuangan rakyat Palestin serta mengecam serangan ganas rejim pengganas Zionis Israel turut berlaku di kebanyakan negara di seluruh dunia dengan kehadiran yang begitu besar menjadi fenomena yang mengejutkan semua pihak.

Apa yang berlaku di Semenanjung Gaza ‘membuka mata’ dunia terhadap realiti sebenar yang berlaku di Palestin dan bukan sebagaimana yang ‘disuapkan’ kepada warga dunia selama puluhan tahun oleh naratif palsu media Barat yang menjadi pendokong kuat negara haram Zionis Israel.

Melihat akan kebangkitan ini, negara Barat sangat bimbang dan bertungkus lumus dengan pelbagai usaha dan kaedah bagi menggagal dan merencatkan kebangkitan besar ini.

Menariknya, orang Yahudi yang tidak bersetuju dengan gerakan Zionisme juga turut menyertainya. Himpunan ini disusuli dengan desakan ke atas organisasi dunia seperti PBB dan Kesatuan Eropah supaya bertindak menghentikan keganasan rejim pengganas Zionis Israel dan memberikan keadilan kepada warga Palestin.

Suella Braveman, Setiausaha Dalam Negeri Britain menjadi mangsa pertama akibat desakan kuat ini, beliau dipecat berikutan kata-kata kesatnya terhadap peserta demonstrasi pro-Palestin di London baru-baru ini.

Namun sebaliknya, apa yang diharapkan oleh majoriti umat Islam yang menyokong perjuangan rakyat Palestin ketika ini tidak menjadi kenyataan. Setelah lebih sebulan berlangsungnya ‘Taufan Al-Aqsa’ dengan peningkatan yang begitu besar dan sokongan kuat terhadap pejuangan rakyat Palestin di Dunia Islam, ramai yang berharap negara Dunia Islam akan bertindak tegas terhadap rejim pengganas Zionis Israel dengan tumpuan terarah kepada Liga Arab dan OIC.

Dua tonggak besar organisasi Dunia Islam ini diharap dapat membela nasib rakyat Palestin dengan menghentikan serangan ganas rejim pengganas Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza, membawa masuk bantuan kemanusiaan dan memuktamadkan dengan sejelas-jelasnya penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka sebagaimana sebelum tahun 1948 tanpa ada sedikit pun campurtangan dari Barat.

Semua mata terarah kepada mesyuarat tergempar Liga Arab dan OIC yang diadakan di Jeddah, Arab Saudi bagi membincangkan isu dan situasi terkini di Semenanjung Gaza. Setelah berlabuhnya mesyuarat tergempar tersebut, nasib rakyat Palestin seolah-olah kembali pada tahun 1948, berjuang bersendirian dalam menentukan masa depan dan hala tuju mereka.

Kita masih lagi berada di zaman kelemahan umat Islam yang hanya berpeluk tubuh melihat kekejaman dilakukan ke atas rakyat Palestin. Tidak cukupkah pengajaran terhadap apa yang berlaku di Iraq, Syria dan Afghanistan dengan menjadi ‘saksi yang kaku’ pada ketika itu yang cukup lemah dan longlai serta tidak mempunyai jiwa dan ruh Islam dalam membela nasib umat Islam di negara-negara tersebut?

Usah dibiarkan sejarah berulang dan generasi umat Islam seterusnya menghakimi kita dengan keras akan tindakan dan keputusan kita ketika ini. Bersatu-padulah untuk kemerdekaan dan pembebasan bumi Palestin serta kemakmuran generasi umat Islam akan datang kerana isu Palestin adalah asas utama kemakmuran dan kesejahteraan Dunia Islam di masa akan datang.

Selagimana isu Palestin tidak mampu dinoktahkan penamatnya, selagi itulah Dunia Islam akan terus ‘dihambat’ kekecewaan dan kecelaruan.

Adil, Prihatin dan Berkebajikan.

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 15/11/2023

- Advertisement -