Jaminan tidak salah guna SKMM sekat kebebasan media

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kebebasan media yang dicanangkan pemimpin kerajaan campuran hari ini masih dipertikaikan banyak pihak termasuk tokoh wartawan dan pertubuhan bukan kerajaan.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, mengemukakan soalan berhubung perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan apakah jaminan kerajaan tidak menyalahgunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menyekat kebebasan media dan kebebasan bersuara khususnya kandungan media sosial yang menegur kerajaan.

Ini, ujarnya kerana ianya nyata bercanggah dengan prinsip demokrasi dan janji manifeso Pakatan Harapan pada PRU15 lalu.

Ahmad Fadhli mengemukakan soalan itu pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Berikut ialah pertanyaan daripada ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, hari ini.

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan sejauh manakah bajet dan langkah spesifik dan berfasa yang telah diambil oleh Kementerian terutama kepada negeri yang masih tidak mempunyai empangan khusus untuk air sebagaimana Kelantan bagi memastikan negara kita dapat berhadapan dengan krisis air pada dekad yang akan datang.    

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [Tanjong Karang] minta Menteri Pertanian Dan    Keterjaminan Makanan menyatakan kesediaan dan kesungguhan pihak Kementerian dalam merubah dasar pertanian dan penternakan negara bagi memastikan 100% SSL untuk barang-barang asas seperti beras, daging, ayam, ikan dan telur ayam. Segala usaha, polisi, research, insentif dan geran mesti terarah kepada capaian 100% SSL.

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan bilakah Kerajaan akan melaksanakan UPU TVET sepertimana yang sedang dikaji oleh Kementerian Pendidikan.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan tindakan memastikan beban tugas pensyarah yang seimbang antara mengejar KPI ditetapkan pihak universiti dengan melaksanakan tugasan mengajar.

Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Menteri Ekonomi menyatakan apakah strategi dan dasar Kerajaan untuk meningkatkan tahap pemilikan ekuiti dalam kalangan Bumiputera, individu dan korporat, sepanjang tempoh RMKe-12 yang berbaki.

Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [Kuala Kangsar]  minta Menteri  Pertanian  Dan  Keterjaminan  Makanan  menyatakan penjelasan mengenai penarikan semula arahan penggantungan import lembu hidup dan kerbau dari Australia dan apakah penambaikan protokol dan tatacara pengimportan yang dilaksanakan bagi memastikan sektor ternakan negara terjamin dan bebas dari sebarang risiko penyakit.

Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah perkembangan terkini program TVET-Tahfiz dan sejauh manakah usaha menjayakan program ini telah dilaksanakan.

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Ekonomi menyatakan:

(a) apakah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang digunakan untuk misi menoktahkan miskin tegar pada 2023; dan

(b) apakah penggunaan PGK sedia ada realistik kerana berlaku peningkatan ketara kos sara hidup dan apakah tindakan penyesuaian dilakukan demi memastikan program membasmi kemiskinan berjaya.

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan penyelesaian rungutan rakyat terhadap isu tarif elektrik (bil TNB) yang tinggi dan apakah langkah Kementerian bagi membantu rakyat.

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah status pembinaan jalan raya Suka Menanti di Alor Setar yang amat perlahan proses pembinaannya dan membahayakan pengguna dan bilakah projek itu dapat disiapkan.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan:

(a) perancangan Kerajaan bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di Lipis; dan

(b) bilakah projek mengatasi banjir ini bermula dan berapa anggaran kos bagi setiap projek.

Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Menteri Ekonomi menyatakan status 114,000 keluarga miskin tegar dan sejak 1 Januari 2023 hingga sekarang, berapa ramai yang sudah keluar daripada kategori miskin tegar.

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary  [Pengkalan  Chepa]  minta Menteri  Pertanian  Dan  Keterjaminan  Makanan  menyatakan strategi Kementerian untuk memperkasa sektor agromakanan untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) rakyat dan apakah langkah yang diambil oleh Kementerian untuk meningkatkan penerimagunaan teknologi moden dalam kalangan petani dan penternak.

Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Ekonomi menyatakan:

(a) hala tuju dan dasar Kerajaan Madani secara terperinci dalam memperkasa agenda Bumiputera untuk jangka masa pendek dan panjang; dan

(b) perincian mengenai kedudukan terkini ekuiti Bumiputera bagi tahun 2023 serta apakah strategi khusus Kerajaan bagi meningkatkan tahap pemilikan ekuiti korporat kepada 30 peratus dalam kalangan Bumiputera.

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan sejauh manakah pemain industri khususnya sektor swasta dalam melaksanakan cadangan gaji permulaan lulusan TVET ditingkatkan antara RM2,500 hingga ke RM3,000.

Tuan Roslan bin Hashim [Kulim Bandar Baharu] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan bilakah Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan dapat menstabilkan harga beras tempatan dan menjamin bekalan beras tempatan sentiasa mencukupi di pasaran.

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan apakah tindakan Kementerian terhadap loji rawatan kumbahan yang tidak diselenggara dengan baik dan terbiar khususnya di bawah seliaan pihak swasta atau pemaju.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [Kuala Kedah] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan inisiatif atau galakkan yang diberikan kepada lepasan sekolah-sekolah agama atau maahad tahfiz untuk terlibat dalam program TVET bagi memenuhi pasaran pekerjaan tenaga mahir.

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan status pelaksanaan Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023, termasuk data berkaitan profil pekebun kecil, kedudukan sosioekonomi dan penglibatan mereka dalam program dan aktiviti pembangunan serta kemasyarakatan ajuran RISDA dan agensi berkaitan.

Dato’ Sri Saifuddin Abdullah [Indera Mahkota] minta Menteri Ekonomi menyatakan sejauh mana ekonomi digital dijadikan enjin utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Datuk Seri Panglima Bung Moktar  bin  Radin  [Kinabatangan]  minta Menteri  Pertanian  Dan  Keterjaminan  Makanan  menyatakan apakah usaha-usaha yang sedang dan akan dibuat oleh Kementerian dalam menangani isu kekurangan bekalan beras tempatan.

Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan jalan-jalan ladang di kawasan MADA yang masih belum diselenggarakan dengan baik dan bilakah projek untuk memperbaikinya akan dilaksanakan.

Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Pertanian  Dan  Keterjaminan  Makanan  menyatakan sama ada terdapat rancangan bantuan atau inisiatif untuk mengembangkan industri penanaman padi melalui penyediaan geran, latihan, infrastruktur dan lain-lain perkara berkaitan di daerah Machang.

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan sejauh mana kerjasama yang dilakukan oleh pihak Kementerian dengan Kerajaan Negeri dalam merancang dan melaksanakan langkah mitigasi efektif bagi membendung kerugian yang banyak daripada sektor pertanian akibat bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Menteri Ekonomi menyatakan sejauh manakah keupayaan inisiatif Zon Ekonomi Khas memberikan kesan positif terhadap ekonomi dan sosial yang bakal dinikmati penduduk di negeri Johor.

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan inisiatif Kementerian dalam usaha mengembangkan pemprosesan REE terutama di 10 negeri yang mempunyai hasil galian tersebut bagi mendepani dasar China yang mengehadkan jumlah eksport logam REE sekaligus mampu menjana sumber pendapatan negara. – HARAKAHDAILY 9/11/2023

- Advertisement -